Archive for Januari, 2011

Beratnya Bebanan & Keluh Kesah : Apa Penawar?

Bebanan Berat vs Keluh Kesah

 

Dalam menjalani tugas sebagai suami atau isteri, kita terkadang malah  kerap terbeban dengan tugas atau kerja yang banyak. Hal sebegini kita istilahkan sebagai bebanan berat. Beratnya bebanan yang ditanggung. Namun, beratnya bebanan yang ditanggung tidak semestinya menjadikan kita keluh kesah.

 

Ada beza yang besar antara bebanan hidup yang berat dengan sikap keluh kesah. Semuanya bergantung kepada keadaan hati dan kekuatan jiwa. Orang yang hatinya tenang dan jiwanya kuat, sekali mana pun banyaknya bebanan berat yang dipikul, ia memikulnya dengan sabar tanpa keluh kesah. Ketenangan hati dan kekuatan jiwanya diperolehi hasil hubungan eratnya dengan Ilah dan Robb-nya. Dia mengetahui sebesar apakah ganjaran ia bakal perolehi di Akhirat dengan bersikap sabar menghadapi kesusahan hidup dan sabar melaksanakan tugas-tugas dan kewajipannya walaupun bebanannya berat.

 

Orang yang hatinya berserabut dan jiwanya lemah pula, sedikit bebanan kerja saja sudah cukup untuk membuatkan dia keluh kesah. Asyik mengeluh saja. Mengomel akan takdir yang telah ditetapkan Allah. Orang sebegini kebiasaannya disebabkan oleh hubungan yang rapuh dengan Allah swt. Hubungan yang rapuh dengan Allah sama ada disebabkan oleh kewajipan yang ditetapkan Allah tidak ditunaikan atau ditunaikan secara sambil lewa. Orang yang tidak menunaikan kewajipan, apalagi hendak melakukan ibadat sunat, ibadat wajib saja sudah gagal dilaksanakan. Orang yang menunaikan kewajipan pula, jika ditunaikan secara sambil lewa sekadar hendak mengambil nama telah melakukan saja, tetap goyah hubungan dan ikatan kasih sayangnya dengan Allah.

 

Bebanan hidup yang berat adalah salah satu bentuk ujian Allah kepada kita. Allah bukanlah zalim. Dia menguji kita untuk memberikan kita pahala dan syurga apabila kita bersabar menghadapi ujian. Allah hendak membuktikan kita sebagai orang yang benar-benar beriman apabila kita Berjaya menghadapi ujian dengan tabah. Allah hendak meninggikan darjat atau maqam kita di sisi-Nya apabila kita Berjaya mengharungi ujian-Nya dengan sabar. Allah juga menguji kita untuk menghapuskan dosa-dosa kita yang lampau.

 

Bebanan hidup yang berat dan ujian bukanlah Allah berikan kepada kita saja, malah Rasulullah dan ahli keluarga baginda juga tidak terlepas daripada ujian. Puteri kesayangan Rasulullah s.a.w, Fatimah Az-Zahra pada suatu ketika telah merasa keberatan kerana melakukan kerja rumah sendirian tanpa pembantu rumah, lantas pada suatu hari dia telah meminta suaminya Ali pergi menemui Rasulullah s. a. w.dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah.

 

Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu bukan menjadi milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya. Ini adalah ketinggian sifat amanah Rasulullah dalam menjaga harta Negara. Permintaan Fatimah itu bagaimanapun membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya tetapi disebabkan oleh perasaan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu diselesaikannya.

 

Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya, “Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi?”

 

Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya. Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.

 

Demikianlah kisah perasaan keluh kesah daripada bebanan kerja yang berat yang melanda puteri Rasulullah saw sendiri iaitu Fatimah. Apalagi kita orang awam ini, pasti tidak terlepas dari keluh kesah. Rasulullah telah memberikan penyelesaiannya. Ini tidak bermakna kita tidak perlu atau tidak boleh mengambil pembantu rumah. Penyelesaian yang Rasulullah berikan adalah penyelesaian berbentuk ruhani iaitu untuk menghilangkan rasa keluh kesah, bukan penyelesaian fizikal (mengurangkan bebanan kerja).

 

Oleh itu, kita hendaklah meningkatkan hubungan kita dengan Allah terutamanya melalui zikir seperti yang telah Rasulullah anjurkan agar hidup kita akan bebas daripada perasaan keluh kesah sekalipun kita dibebani tugas yang banyak.

 

Leave a comment »

Fahaman Kebangsaan


Asobiyah Jahiliyah. Asobiyah jahiliah ialah kesetiaan dan sokongan kepada sesuatu kelompok atau bangsa dalam melakukan kezaliman. Nasionalisme bercorak perkauman sempit yang zalim adalah salah satu contoh asobiyah jahiliyyah. Pengamal asobiyah jahiliyah selalunya taksub membuta tuli.

Asobiyah Murni. Ibn Khaldun telah mentakrifkan asobiyah (yang murni) sebagai semangat kelompok yang diperlukan untuk kelangsungan hidup sesebuah masyarakat, asalkan ia bertujuan menegakkan kebenaran. Watoniyyah iaitu semangat cintakan tanah air adalah salah satu contoh asobiyah yang murni.

Nasionalisme. Perkataan nasionalisme berasal dari kata nationalisme iaitu perkataan Inggeris. Nasionalisme ialah kesetiaan kepada bangsa dan Negara. Bentuk nasionalisme di Negara Inggeris atau Negara-negara Barat adalah berbeza dengan nasionalisme di Negara-negara Timur seperti Tanah Melayu. Bentuk nasionalisme bergantung kepada sejarah dan budaya setempat.

Nasionalisme negatif. Nasionalisme di barat bercorak perkauman sempit yang zalim, sampai membawa kepada permusuhan dan penindasan kepada bangsa lain. Nasionalisme di Barat mendiskriminasikan manusia berdasarkan bangsa.

Nasionalisme positif. Nasionalisme di Tanah Melayu (Malaysia) adalah kesetiaan dan semangat cintakan bangsa dan tanah air yang menjadi sumber kepada perpaduan, semangat tolong-menolong, persefahaman dan kekuatan yang bermanfaat.

Faham kebangsaan. Istilah yang lebih tepat untuk nasionalisme di Tanah Melayu (Malaysia) ialah fahaman kebangsaan. Yang dimaksudkan dengan fahaman kebangsaan ialah rasa kemanusiaan dan persaudaraan sesama ummat serta semangat cintakan bangsa dan tanah air yang mendorong perpaduan dan pembangunan tamadun tanpa menzalimi orang lain.

Leave a comment »