Wahana Memperkukuh Semangat Persaudaraan

Semangat persaudaraan atau ringkasnya Ukhuwwah dalam bahasa Arab boleh diperkukuhkan dengan pelbagai cara.

Antaranya ialah mengungkapkan rasa kasih kita kepada sahabat kita dalam perkataan seperti “Aku kasih kamu kerana Allah”. Ironisnya, dalam budaya Melayu Malaysia, mengungkapkan rasa kasih kita kepada sahabat kita dalam perkataan lisan adalah janggal dan tidak pernah dilakukan, sedangkan mengungkapkan rasa cinta kepada kekasih dalam percintaan terlarang adalah satu kebiasaan. Oleh itu, kita mesti mengubah budaya ini. Mungkin ia sukar untuk dilaksanakan, tetapi kita boleh memulakannya secara berdikit-dikit. Sebagai permulaan, kita boleh mengungkapkan rasa kasih kepada sahabat ini secara bertulis seperti melalui pesanan ringkas telefon, emel, surat, kad ucapan tahniah sempena ulangtahun hari lahir atau kelahiran anak dan sebagainya. Apabila sudah terbudaya melalui media cetak, barulah senang untuk diungkapkan melalui lisan. Perasaan malu dan janggal akan hilang sedikit demi sedikit.

Mendoakan sahabat tatkala ketiadaannya di sisi juga dapat memperkukuhkan ukhuwwah. Doakanlah kebaikan kepada sahabat kita yang telah banyak melakukan kebaikan kepada kita, menolong kita, membawa kita ke jalan hidayah, membelanja kita makan, menumpangkan kita kenderaannya, meminjamkan kita alatannya dan sebagainya. Tiada salahnya juga kita meminta sahabat kita mendoakan kebaikan kepada kita semasa masing-masing berpisah atau berjauhan. Baginda Rasulullah pernah berbuat demikian.

Kukuhkan ukhuwwah dengan mengukir senyuman apabila bertemu atau menampilkan wajah yang manis. Senyum juga adalah sedekah. Sekali senyum dengan ikhlas, ukhuwwah menjadi kukuh, pahala bersedekah pun dapat.

Memberikan salam dan berjabat tangan apabila bertemu juga dapat mengeratkan ukhuwwah. Jika lama tidak bertemu atau datang dari perjalanan jauh, lebih elok berpelukan selain daripada berjabat tangan, sebagai tanda kasih dan rindu. Allah juga segera mengampunkan orang Islam yang bertemu dan bersalaman sebelum mereka berpisah semula.

Mengambil tahu nama sahabat yang sebenar, memanggil dia dengan nama yang dia suka dipanggil dengannya atau memanggil dengan nama kunniyyah-nya dapat mengukuhkan ukhuwwah. Selain nama dia sendiri, mengambil tahu nama isteri atau suaminya dan anak-anaknya juga ibu bapanya atau adik beradiknya atau ahli keluarganya juga dapat menggembirakan hati sahabat kita dan mengukuhkan ukhuwwah dengannya.

Melawati saudara kita (ziarah) dan bertanya khabarnya juga dapat mengeratkan ukhuwwah. Selain mengunjungi rumah sahabat kita, pelawalah dia dan keluarganya untuk berkunjung ke rumah kita pula apabila kelapangan. Jika kesibukan dan tidak sempat melakukan ziarah, paling tidak pun bertanya khabar lewat telefon, emel, pesanan ringkas, atau medium komunikasi lain.

Apabila ada berita kegembiraan yang diterima sahabat kita atau sempena keraiannya seperti dia Berjaya dalam pelajaran atau dia dinaikkan pangkat atau dia menyambut ulang tahun kelahirannya atau dia melangsungkan perkahwinan atau dia mendapat cahaya mata atau dia membeli kereta atau rumah baru atau apa-apa saja yang menggembirakannya, kita turut sama meraikannya serta mengucapkan tahniah.

Kita bersama-sama dengan sahabat kita merasai bukan sahaja kegembiraan tetapi juga kedukaan tatkala ada kejadian duka yang menimpa sahabat kita seperti kematian ahli keluarga, kehilangan barang, rumah kecurian, kenderaan rosak, rumah dilanda banjir atau rebut, kegagalan peperiksaan, putus pertunangan, keguguran anak, jatuh sakit, berlaku perceraian, dan sebagainya. Saat-saat kedukaan begini, jika kita mampu membantu apa yang dapat, kita bantu. Jika tidak pun, setidak-tidaknya kita bertanya khabar dan memberikan sokongan moral. Jika kita dapat berada bersama-sama sahabat kita secara fizikal, itu yang terbaik. Jika tidak dapat pun, memadai kita menghubunginya melalui telefon dan sebagainya untuk kita bertanya khabar dan memberikan sokongan moral.

Keprihatinan kita untuk menyempurnakan keinginan sahabat kita dapat mengukuhkan ukhuwwah antara kita dan dia. Contohnya, sahabat kita teringin untuk makan sesuatu, lalu kita memasakkan atau membelikan untuknya atau sahabat kita teringin membaca buku tertentu sedangkan kita memilikinya, lalu kita meminjamkannya kepada dia atau menghadiahkannya kepada dia.

Memberikan hadiah juga adalah salah satu wahana memperkukuh ukhuwwah. Berilah hadiah kepada sahabat kita sempena hari ulangtahun kelahirannya, atau sempena kejayaannya atau tanpa sempena apa-apa, Cuma sekadar kita mahu memberikan hadiah sebagai tanda persahabatan yang erat. Apabila kita pergi makan angin contohnya, bawalah balik hadiah kepada sahabat kita apabila kita pulang.

Apabila kita berada dalam majlis seperti majlis ilmu (perbincangan kumpulan, seminar, forum, ceramah dan lain-lain) atau majlis keramaian (kenduri dan lain-lain) lalu kita mendapati sahabat kita baru sampai, bersegeralah memanggilnya dan memberikan atau menunjukkan tempat duduk kosong kepadanya. Layanan sebegini pun dapat mengeratkan ukhuwwah, apalagi jika kita melakukan lebih daripada itu seperti tolong mengambilkan makanan atau minuman dan sebagainya.

Kita juga boleh mengeratkan ukhuwwah dengan melaksanakan hak-hak persaudaraan seperti memberikan salam apabila bertemu, menjawab salam apabila diucapkan salam, mendoakan apabila bersin, melawat apabila sakit, mengiringi jenazah apabila meninggal dunia, memenuhi jemputan apabila dijemput, menasihati apabila diminta, menolong dalam kesusahan dan sebagainya.

Dengan melaksanakan wahana-wahana tersebut, insyaAllah ukhuwaah sesama kita akan menjadi lebih kukuh. Apabila ukhuwwah sesame kita kukuh, hidup akan menjadi mudah dan bahagia serta kerja-kerja akan dapat dilaksanakan dengan licin dan jaya.

Ayuh, kukuhkan ukhuwwah!

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: