Perancangan Perkahwinan adalah Peluang Dakwah

Ramai muslim dan muslimah terutamanya yang komited dengan syariat Islam termasuk aktivis-aktivis dakwah yang merasa buntu dan tertekan saat berhadapan dengan perkara-perkara yang berlawanan pandangan antara dia dengan ahli keluarganya yang lain. Dari permulaan sampai akhir proses perancangan sebuah perkahwinan termasuk pemilihan calon, perancangan walimatul urus dan sebagainya, boleh terjadi bermacam-macam perbezaan pandangan antara dia dengan ahli keluarganya. Sebenarnya, dari sudut pandang yang positif, perbezaan pandangan ini menciptakan sebuah peluang dakwah iaitu peluang untuk menerangkan syariat Islam yang sebenar kepada mereka.

Ya, para ahli keluarga kita itu juga Muslim tetapi belum tentu pemahaman Islamnya jelas. Barangkali mereka langsung jahil, atau tahu sekadar samar-samar, atau tersalah faham atau banyak lagi kemungkinan lain yang menyebabkan mereka berbeza pandangan dengan kita. Ditambah pula adat dalam masyarakat kita yang dating entah dari mana dan diamalkan saja secara turun temurun tanpa dikaji apakah ia selari dengan Islam atau tidak. Itulah yang terkadang menyebabkan kita yang faham Islam secara jelas mahu ketawa kecil melihat sebahagian orang Islam di Negara kita ini pada satu masa sangat bersemangat mengamalkan Islam dan pada satu masa yang lain sangat bersemangat juga melakukan maksiat. Cuba perhatikan scenario ini; pada satu masa nampaknya sangat khusyuk solat sendirian, dan pada satu masa yang lain juga sangat khusyuk menonton aurat di televisyen.

Apabila timbul perbezaan pandangan atau pertentangan pandangan antara kita dengan ahli keluarga, maka sebenarnya Allah swt mengasihi kita dengan menciptakan peluang dakwah untuk kita. Kalau nak menunggu kita sendiri yang berusaha menciptakan peluang dakwah, entah bilalah nampaknya. Usahkan nak mencipta peluang, peluang yang sudah ada terbentang di depan mata pun kadang disia-siakan begitu saja. Tidakkah kita berdosa? pada Allah dan pada masyarakat yang ternanti-nantikan bimbingan di luar sana. Peluang dakwah yang tercipta itu adalah peluang untuk menerangkan syariat Islam yang sebenar.

Kalau kita ialah ustaz dan ustazah, tak mengapalah kerana kita boleh balun sampai habis (terangkan sejelas-jelasnya). Tapi, kalau kita bukan Ustaz atau ustazah pun tak mengapa kerana dakwah itu bukan kerja ustaz dan ustazah saja. Dakwah itu kerja Yang Di Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Setiausaha Politik, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, jaga, pemandu, tukang sapu, ustaz, ustazah, cikgu, doctor, jurutera, peguam, pelayan restoren, pemandu pelancong, pelajar, pendek kata semua oranglah, sesuai dengan kemampuan dan kedudukannya. Kalau kita tak tahu nak bacakan nas atau dalil seperti ayat-ayat al Quran dan hadis contohnya, kita boleh Tanya kepada Ustaz / Ustazah atau rujuk di kitab (buku), kemudian menerangkannya kepada ahli keluarga kita yang berbeza pandangan dengan kita.

Senario seperti ahli keluarga kita tidak berkenan dengan calon isteri / suami yang kita pilih kerana si dia bukan dari golongan atasan / kaya, si dia tidak memiliki ijazah pendidikan yang tinggi dan mashur, si dia tidak kacak / cantik, si dia dari negeri yang itu dan ini, serta bermacam lagi alasan duniawi adalah perkara biasa. Pada masa inilah, tercipta peluang perdana untuk anda membacakan ayat-ayat Quran dan hadis-hadis Nabi tentang ciri-ciri calon pilihan berdasarkan kemantapan agamanya. Seelok-eloknya, sebelum sesi dakwah anda kepada ahli keluarga anda ini, anda solat dan berdoalah kepada Allah dahulu agar memudahkan usaha dakwah anda, melancarkan lidah anda dan melembutkan hati ahli keluarga anda.

Semasa hendak walimah / kenduri pula, biasanya berlaku pertentangan pandangan tentang kebesaran majlis yang hendak diadakan, jumlah duit hantaran yang hendak ditetapkan, persandingan dan bermacam lagi. Sekali lagi tercipta peluang dakwah untuk anda. Sama saja, mula dengan solat dan doa kepada Allah agar dipermudahkan urusan dan dilembutkan hati ahli keluarga, kemudian terangkanlah kepada mereka yang sepatutnya. Bacalah ayat-ayat al Quran dan hadis. Ini bermakna, anda perlulah membuat persiapan terlebih dahulu seperti menghafal ayat-ayat al Quran atau hadis yang berkenaan ataupun menyediakan buku-buku atau bahan yang mengandungi dalil berkenaan untuk ditunjukkan kepada mereka.

Semua kerja dakwah ini memerlukan keikhlasan anda, juga keberanian dan kerajinan. Kenapa nak takut, anda bukan mendakwahkan perkara yang salah. Anda ingin menyelamatkan perkahwinan anda agar menjadi perkahwinan yang berkat. Anda juga ingin menyelamatkan ahli keluarga anda daripada pemahaman Islam yang terpesong kerana anda sayangkan mereka dan anda mahu masuk syurga bersama-sama mereka juga, bukan anda seorang saja. Jika sampai kepada satu tahap anda perlu menjelaskan ini semua kepada mereka, maka jelaskanlah. Tidak ada satu akta pun yang mencegahnya.

Apapun, harus diingat bahawa semua penerangan ini mestilah dibuat dalam suasana kasih sayang, bukan suasana perdebatan yang berapi-api yang hanya menyakitkan hati semua orang dan merenggangkan hubungan silaturrahim. Jika ada ahli keluarga yang tetap menentang, sekalipun telah dijelaskan dengan baik dan penuh kasih saying, serta telah dibawakan dalil-dalil yang jelas dari al Quran dan hadis, mungkin anda perlu beralah buat seketika, tetapi tidak bermakna anda menyerah kalah. Kata orang, mengalah itu menyerlah. Biarlah ahli keluarga berkenaan mengambil sedikit masa. Mungkin dia perlukan masa untuk berseorangan dan berfikir dengan waras. Masa terkadang menjadi sebahagian daripada rawatan. Apabila telah renggang sedikit waktu dan dia kembali waras, mungkin anda ingin mencuba berbincang sekali lagi. Berdoalah semoga Allah melembutkan hatinya.

Sujudlah syukur pada Allah jika Dia membalikkan hati ahli keluarga anda dari awalnya menentang pandangan anda kepada akhirnya bersetuju dan menyokong anda. Jika ahli keluarga anda tetap degil setelah anda sekian lama mendakwahinya, biarkanah dia dengan labu-labunya, tetapi tetaplah menjaga hubungan baik dengannya sekali pun dia bermasam muka dengan anda. Ingatlah, anda tidak wajib mematuhi siapapun dari ahli keluarga anda termasuk ibu dan bapa jika perintah atau keinginan mereka melanggar syariat Allah. Bunyinya kasar tetapi demikianlah ketetapan Islam kerana kepatuhan kepada Allah mendahui kepatuhan kepada makhluk termasuk ibu bapa.

Jika ahli keluarga anda berkeras dengan kehendak mereka yang memaksiati (mengingkari) Allah, maka tidak ada dosa bagi anda jika anda tidak mematuhi mereka sekalipun hal itu menyebabkan mereka bermasam muka dengan anda. Contohnya, ibu bapa anda mahu anda bersanding dan bermekap untuk persandingan di atas pelamin itu. Anda tidak mahu. Maka pada hari walimatul urus, anda enggan dimekapkan dan enggan bersanding. Ibu bapa anda kecil hati dengan anda dan bermasam muka. Namun, tidak ada dosa bagi anda mengingkari kehendak mereka kerana anda menjunjung syariat Allah.

Namun, jika anda tidak sanggup melihat ibu bapa anda mengalirkan air mata kerana anda mengingkari perintahnya yang memaksiati Allah, atau anda diugut dengan ugutan tertentu yang pada pandangan anda lebih besar buruknya atau mudaratnya kepada kehidupan rumah tangga yang baru dibina anda selepas kahwin, atau apa-apa saja yang menyebabkan anda terpaksa mentaati perintah ibu bapa anda yang memaksiati Allah (setelah anda berusaha keras mendakwahkan syariat Islam kepadanya), maka anda jalanilah perintah ibu bapa anda itu dengan perasaan hati yang tidak redha kepada maksiat tersebut serta beristighafarlah (minta ampun) banyak-banyak kepada Allah atas perbuatan anda yang dilakukan dalam keadaan terpaksa dan tersepit antara dua itu.

Sesungguhnya, perancangan perkahwinan adalah sebahagian daripada kehidupan. Cabaran-cabaran semasa melaluinya adalah peluang untuk dakwah. Hadapilah cabaran-cabaran ini dengan sabar agar ia menjadi penyebab pahala kepada kita serta bermohon ampunlah atas segala dosa-dosa yang sengaja dibuat atau terpaksa dibuat sepanjang tempoh perancangan perkahwinan sampai telah selamat diijabkabulkan. Semoga Allah mengganjarkan kepada kita pahala dan mengampuni dosa-dosa kita. Amin.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: