Tips: Ayuh Hebat Ibadat Ramadhan!

Alhamdulillah barangkali adalah lafaz yang paling tepat untuk diucapkan setelah doa kita “Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami kepada Ramadhan” termaqbul. Kita akhirnya diberi peluang lagi untuk bernafas dan beramal pada Ramadhan kali ini, tetapi selama mana kesempatan ini diberikan kepada kita, apakah seluruh Ramadhan atau separuhnya saja atau sebahagiannya saja tidak kita tahu, Cuma yang pasti ajal itu pasti akan datang.

Sepanjang bulan Ramadhan, banyak sekali pilihan amal ibadat yang boleh kita pilih untuk dilaksanakan, lebih banyak dari pilihan juadah Ramadhan yang ada di bazaar setiap petang. Jenis-jenis ibadah itu boleh kita pilih semua dan ambil semua, tanpa kos pula, semuanya percuma, yang penting Cuma kerajinan dan kesanggupan kita. Sekuat manakah kita dari segi kekuatan untuk melaksanakan ibadat? Apakah kita lebih kuat daripada bermain bola di padang atau lebih kuat dari bangun malam untuk menyaksikan perlawanan bola? Kalau lebih kuat untuk beribadat Ramadhan berbanding hal itu semua, syabas wa tahniah! Selamat beribadat dan silalah istiqomah! Jika belum sedemikian kuat, jangan gusar jangan gundah, selagi umur masih ada, selagi hidung masih bernafas, bulatkan tekad, pasang niat, ayuh saja beribadat!

Kita semua tahulah apa kelebihannya bersahur dari segi pahala. Kita pastinya kepingin untuk bangun seawal pagi, bersahur, kemudian solat Subuh. Kalau boleh, hendak solat malam juga. Ya, itu semua mungkin! Sama-sama kita tolong-menolong. Caranya mudah. Konsepnya Ramadhan ialah bulan ‘kurangkan’ makan. Dengan mengurangkan makan insyaAllah kita akan lebih senang untuk bangun sahur kerana perut yang sedang-sedang atau tidak terlalu penuh mengekalkan kesegaran dan tenaga badan untuk mudah bangun. Perut yang terlalu penuh kekenyangan memenatkan system pencernaan badan lalu menyebabkan badan lesu dan sukar untuk bangun bersahur awal lagi segar. Ringkasnya, hendak bangun sahur awal lagi segar, kurangkan makan pada malamnya, jangan sampai terlalu kenyang. Caranya, kawal nafsu.

Ada lagi cara yang boleh membantu kita bangun awal dengan segar untuk sahur dan solat Subuh serta solat malam juga. Caranya tidur awal! Senang saja. Buat apa lagi bermalam-malam kalau tidak ada urusan mustahak. Nabi pun kan pernah menyaran agar tidur selepas Isyak. Biasanya, tidak banyak orang yang bermasalah untuk tidur. Baringkan saja badan, insyaAllah akan lena, tapi jangan dilupa, doa sebelum tidur dan teguhkan niat untuk bangun awal dengan segar untuk solat malam dan bersahur. Kunci jam, pastinya membantu untuk bangun pada waktunya, insyaAllah.

Memang Ramadhan bulan untuk kurangkan makan. Bukan saja berbuka puasa tidak patut kita makan sampai penuh perut hingga so’oh (tutur orang Serendah Sekebun Bunga), bahkan semasa Sahur pun kita tidak patut sama sekali memenuhkan perut sampai penuh. Kan formulanya sudah ada, tinggal diaplikasi saja: 1/3 makanan, 1/3 air, 1/3 udara. Maksudnya, paling-paling pun boleh kita  penuhkan 2/3 saja, jangan sampai 3/3. Kalau sudah terpenuh 3/3, tidak hairan kenapa perut berasa tidak selesa semacam, so’oh katanya, kerana memang udara sudah tidak ada jalannya. Makanlah biar dapat menegakkan tulang belakang untuk beribadat saja. Makan bukan tujuan kita. Kan tujuan kita ialah berpuasa dan meng’abdi kepada Allah.

Apabila kita bersahur dengan bersederhana saja penuh perutnya, insyaAllah perut kita selesa dan badan tetap bertenaga. Dengan demikian, kita boleh solat Subuh dan menunai ibadah lain-lainnya dengan selesa tanpa gangguan. Kalau jam 3 pagi, kita kuat untuk bangun dan keluar rumah ke kedai mamak / kopi untuk tonton perlawanan mengejar sebiji bola, apa kata gunakan kekuatan yang sama untuk bangun jam 5 pagi, sahur dan keluar rumah ke masjid untuk Solat Subuh berjemaah! Bagus juga seusai Subuh yang dingin, kita panjang-panjangkan zikir dan membaca al Quran pada masa yang mengizinkan terutama pada hujung minggu. Zikir-zikir seperti matsurat tetap saja boleh dibaca sekalipun kita dalam perjalanan, baik di mana saja, dalam kereta sendiri atau angkutan awam.

Perokok pun pandai ambil masa rehat untuk sebatang dua. Kenapa tidak kita untuk dua empat rakaat saja. Sedikit masa boleh diambil untuk rehat sekadar untuk solat dhuha, 2 rakaat pun sudah memada, apalagi kalau memang ada masa, di hujung minggu umpamanya, 8 rakaat pun tidak ada halangannya.

Memang tidak dinafikan, secara jasadnya menjelang tengah hari, terasa lapar dan sedikit lesu. Kan sudah fitrahnya. Biarkan saja, puasa kan ujian, tapi kan kita ada terapinya. Qailulah. Tidur sekejap. Barangkali inilah ubat paling mujarab. Sekejap tapi bertenaga. Janganlah pula terlebih lenanya. Kuncilah jam, kan ada. Tapi tidakkah tidur mengurangkan pahala puasa? Jika demikian, apa niat qailulah kita? Apakah untuk meringankan beban puasa atau untuk mengecas tenaga badan agar lebih kuat beribadat? Jika untuk mengecas tenaga badan agar lebih kuat beribadat, ah, silakan saja! Tapi kalau memang niatnya untuk hilangkan beban puasa, awas! Periksa semula niat kita.

Bukanlah tidak boleh membeli-belah dan bersuka ria, tapi harus diawasi saja, jangan sampai nafsu menguasai kita. Bazaar Ramadhan itu kan pasar, tempat atas muka bumi yang Nabi pun tidak cenderung kepadanya. Maka, berawas-awaslah! Selain pembaziran, di sana juga ada lelaki dan perempuan, yang ramai dan bersesak-sesakan. Aurat pula satu hal yang tidak boleh dipinggirkan. Kewarakan barangkali memberi lebih pahala kepada isteri-isteri yang menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah! Semata-mata ingin mengelakkan dari terpaksa ke bazaar. Penjimatan, satu lagi kosa kata untuk kes masak sendiri di rumah.

Doa orang berpuasa mustajab. Jam-jam terakhir menjelang waktu berbuka, biasanya manusia sudah tidak keruan, sudah tidak tahu apa lagi yang patut dibuat, yang diharapkan hanyalah azan. Isilah masa ini untuk tilawah al Quran atau zikir atau doa. Atau setidaknya, sang suami, bantulah isteri di dapur, jangan pandai “dah siap ke?” saja. Sang isteri, sambil-sambil sediakan juadah, apalah salahnya ungkapkan zikir-zikir di mulut agar mengalir kasih dan cinta dalam keluarga menerusi makanan yang disedia.

Ya, waktu berbuka, baca doa dan makan sederhana. Bagus juga mengikut tradisi Arab, berbuka kurma sebiji dua, solat Maghrib dulu baru makan hidangan lainnya, tapi awas, bukan makan sepuas-puasnya. Jangan dah nak masuk Isyak baru siap makan, ini pasti kalah oleh setan. Awalkan Maghrib, jangan sampai lewat sangat.

Kalau makan masa berbuka sedikit atau sederhana, pasti kita akan tetap bertenaga dan selesa untuk beribadat, seperti tilawah Quran umpamanya sementara menunggu Isyak. Tapi kalau dah penuhkan perut 3/3, nak bersuara pun susah kan. Tak percaya? Janganlah cuba, tapi tanyalah pengalaman lepas atau sesiapa yang terjadi mangsa.

Rasailah lagi kehebatan makan sedikit atau sederhana semasa kita solat Isyak dan terawih! Kita akan bertenaga! Kalau makan banyak, rasa letih dan lesu saja. Usai terawih, mungkin diserikan dengan beberapa ibadat lagi dan mungkin kita memilih untuk tidur awal dan bangun awal: solat malam, sahur dan Subuh yang segar! Mugkin juga keluar rumah jam 4 pagi ke masjid untuk Iktikaf dan Qiam al lail 10 malam terakhir Ramadhan! Kejar Lailatul Qadr. Kejor yob kejor! Selamat ibadat.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: