Buat Puteri

Putri-putri yang belum berkahwin!

Jagalah pandangan mata. Kerana mata saudari itu adalah kuasa yang dipinjamkan-Nya. Kuasa tarik yang maha kuat. Yang maha tajam. Bisa menembus benteng kekuatan iman sang lelaki. Kuasa tusukan panahan yang maha bisa hingga membuatkan orang tersiksa dan ketagih untuk melihatnya lagi. Andai tidak bisa melihat lagi, ia terus tersiksa, dan merana, dan terus menyimpan cita-cita dan ia susuli dengan usaha hingga bisa dua mata dari lain jantina itu bisa bertentang lagi. Padahal, pada pertentangan itu tidak ada lain kecuali panahan syaitan dan murka Allah saja. Awas. Jagalah pandangan matamu sang putri, demi menjaga kesaliman iman saudaramu seagama tapi berlainan jantina, sang lelaki. Jagalah pandangan matamu, kerana engkau tidak buta. Dan dia yang melihat juga tidak buta. Dan bagaimana sekiranya kamu dijadikan Allah buta? Tidakkah kamu bersyukur dengan ketidakbutaan kamu? Mengapa mahu lagi kamu derhaka pada perintah aturan-Nya?

Buat putri,

Jagalah kemuliaan jiwa dan ragamu. Pada dirimu itu tidak ada lain hanya kemuliaan. Rupa wajah, paras potongan, bentuk ciptaan, dan aurat adalah kemuliaan yang Allah jadikan padamu, untuk menguji orang yang beriman, kamu dan manusia lain. Maka, kemuliaan itu, peliharalah, jagalah, lindungi ia, tutupilah, jangan dedah-dedahkan, kelak terkena kotoran, tercalar oleh sentuhan haram lagi terlarang, kelak diguris orang, kelak disambar, diterkam sang pemandang, pengintai, pemerhati, yang memandang dan menyimpan, cita-cita memiliki dan menguasai.

Duhai putri,

Labuh-labuhkanlah. Jangan singkat-singkatkan. Labuhkanlah hijab (tudung kepala). Jangan singkat-singkatkan. Biar sampai menutupi bentuk-bentuk badanmu. Biar sampai menutupi dadamu, dari depan, dan sisi. Labuhkanlah jilbab (pakaian badan), dan longgar-longgarkanlah. Biar ia melepasi, paras yang menjadi sensitiviti. Janganlah sekadar mengambil nama, asalkan pakai saja. Pakailah kerana tujuannya. Tujuannya untuk menutupi, untuk menghalang dari dipandangi, maka, tutupilah selayaknya, sesempurnanya. Janganlah telah ditutupi semuanya, tapi seperti pembalut nangka, kulitnya tidak nampak, tapi bulat lepernya semua orang tahu, bentuknya! Bentuknya! Jagalah bentuknya, supaya bentuknya pun orang tidak tahu. Supaya bentuknya pun tidak melemparkan kamu, dan melemparkan orang yang memandangnya ke api yang menyala. Bentuk adalah satu kuasa, bentuk adalah amanah Allah padamu supaya dijaga, bentuk adalah satu bentuk ujian kepada kita. Maka, bentukmu, jagalah!

Putri, suaramu janganlah berlunak manja, dengan lain jantina. Pada suaramu ada aura, ada aurat, ada kuasa, ada graviti, dan tarikan lunak manja. Apalagi, kalau aurat fizikal sudah terbuka atau tidak sempurna tutupnya, lebih parah dan bahaya. Tetapi, jika aurat fizikal sudah dilitup syumul semuanya, pun suara masih kena dijaga, kerana ia bisa jadi bahaya, apabila dilunak manja, dilemakmaniskan lentukkan lengguknya, ditambah bunga bahasa, yang segar dan wangi pula, lebah mana tidak teruja? Kumbang itu nampaknya bergaya, terbang ke sini sana, riang ria, tapi awas! Kumbang itu berbahaya. Madu diserapnya, dan manusia pun disengatnya. Jagalah suara, jagalah bahasa, dan intonasinya. Kalau pun dia sang kumbang berjaya mengawal kehendaknya, tapi siapa yang bisa menidakkan dosa, apabila ia telah terlaksana, (ie apabila suara telah dibicarakan dengan lemak manja lunak menggoda).

Bukan kerana Tuhan tidak menyayangi, bukan kerana Dia tidak Adil, lalu Dia menetapkan bermacam-macam ketidakbolehan, halangan, larangan, ikatan, kesempitan padamu, sang putri! Bukan! Bukan! Justeru Dia menyayangi saudarilah, dia menyediakan sistem pengurusan diri saudari dengan sedemikian aturan, standard, dan prosedur, yang komprehensif, efektif, supaya saudari selamat, jiwa dan raga (selamat jiwa dari dosa, selamat raga dari bahaya). Putri, apabila keluar dari rumahmu, tahanlah dirimu dengan kesabaran dari berhias. Badanmu itu sendiri sudah satu perhiasan yang sangat cantik, yang bisa menarik manusia, tiada siapa yang bisa menafikannya. Apalagi jika saudari tambahi dengan perhiasan luaran. Bertambahlah tarikan. Sedang Tuhan tidak mengkehendaki saudari dari mentertarikkan orang, supaya jauh dari maksiat dan ketidakselamatan. Maka, tahanlah diri dari berhias! Pada wajah, pada badan dan pada pakaian. Allah itu memang Maha Cantik dan Menyukai kecantikan. Tapi, berpada-padalah dengan kecantikan dan biarlah ia menempati keperluan. Berpakailah sekadar kemas, tidak comot, tapi bukan sampai berlebihan dengan hiasan, wangian, warna-warna ranggi dan garang, memikatkan, sehingga mentertarik setiap mata yang terpandang, atau memandang. Sembunyikanlah dulu perhiasan, biar manusia tidak tahu tapi Tuhan Maha Tahu. Dan bunyi-bunyian, dari mata rantaian, yang mengelilingi dan melingkari tangan-tangan, atau kaki-kakian, locengan dan hentakan dari sepatu, senyapkanlah.

Tuhan Maha Tahu, bahawa engkau tidak bisa mematikan nafsu, kehendak dan ingin yang mahu, menunjukkan bahawa engkau adalah makhluk yang hebat, cantik, dan menarik. Engkau mahukan perhatian, dipandang, dan diberi pujian. Engkau mahu menunjukkan, engkau adalah sebaik-baik perhiasan. Engkau mahu berhias-hiasan, bercantik-cantikan, berwangi-wangian, menarik dan menawan dalam pandangan, kerana itu semua karateristik idaman, karakteristik syurga yang diharap balasan, maka bernikahlah! Ia menghubungkan manusia. Ia mendamaikan jiwa. Ia menukarkan dosa kepada pahala. Ia menghalalkan yang haram. Ia membenarkan yang dilarang. Ia tempat kepuasan. Ia tempat untuk berhias-hiasan, bercantik-cantikan, bersenang-senang seronokan, tempat untuk mempamerkan segala kehebatan, ia adalah hak anda yang telah dihalalkan. Kelak, berhiaslah sehias-hias dan sepuas-puasnya, dalam lingkungan kamar, dan dalam rumah anda, dan peragakanlah, pertontonkanlah kepada si dia yang telah halal pada anda.

Berkahwinlah! Belum mampu? Bercita-cita, bersedia, dan berusahalah! Sedang menunggu masa, bersabarlah dan berpuasa! Sesungguhnya ia benteng. Dan menjaga kehormatan diri, dari noda dan dosa. Jauhi supaya tidak terhampiri, kerana apabila sudah hampir, tidak dapat lagi lari, syaitan telah mengelilingi. Sucikanlah diri. Berdoa dan minta diampuni. Berdoa dan minta dipeliharai, oleh Allah sendiri. Berdoalah, dan minta dipandui. Berdoalah, supaya cepat dan selamat diijabkabuli. Dan berdoalah, supaya bahagia yang menanti.

Berdoalah, kerana Dia Maha Mendengar, dekat dan mengkabulkan.

Berdoalah, dengan takut (dosa-dosa yang lepas) dan harap (diampuni).

Amin.

1 Response so far »

  1. 1

    🙂 article yang bagus sekali, semua puteri2 kita ga perlu bercemas hati


Comment RSS · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan kepada jual baju anak Batal balasan