Antara Kasih dan Tanggung Jawab

Ke mana hilangnya kasih setelah tanggung jawab bertambah? Kenapa pudarnya kasih setelah tanggung jawab berganda? Memberikan kasih dan melayani dengan penuh kasih sayang adalah juga sebuah tanggung jawab bahkan amanah yang perlu dibereskan.

Percintaan sebelum nikah biasanya banyak mengundang perhubungan haram, bahkan banyak juga mengundang padah, diri terpekosa dan maruah terjajah. Dosa sudah tentulah banyak. Namun, indah sungguh hidup pasangan kekasih semasa bercinta. Dunia bagaikan melayang di angkasa, hidup penuh romantika. Penuh ceria, gembira dan tawa. Bertemu dan bermesra. Akhirnya berakhir di jinjang pelamin jua. Namun tak kurang yang berterabak di tengah jalan saja. Sudah tak ada jodoh katanya. Begitulah kalau hubungan sudah terlarang, berkat pun akan hilang.

Sebulan dua selepas nikah hidup masih banyak dihiasi gembira dan suka. Namun, lama-lama, kenapa ia makin sepi saja. Makin bosan rasanya. Makin penat dan letih. Demikianlah apabila tugas dan tanggung jawab bertambah. Kasih sayang seperti telah menyepi, menyorokkan diri bahkan mungkin lari pergi, hilang entah ke mana. Yang ada hanya tanggung jawab di depan mata, sebesar gajah rasanya.

Demikian juga dengan pasangan yang bercinta hanya selepas kahwin. Mereka pasangan suci yang tidak pernah mengenal hubungan cinta laki perempuan sebelum perkahwinan, apa lagi hendak dating atau bergayut telefon jauh sekali. Kata orang, manis percintaan, kalau belum dikepah atau dihisap sebelum perkahwinan, ia akan tersimpan untuk cinta selepas kahwin. Tetapi kenapa seiring lama tempoh selepas perkahwinan, manis cinta itu seakan makin berkurang setelah tanggung jawab makin bertambah.

Tidaklah susah untuk difahami. Dulu hidup seorang, hidup membujang, boleh buat apa saja yang diingini tanpa ambil peduli orang lain. Kini setelah hidup diikat berdua, tidak bebas semutlaknya seperti dulu lagi. Tiap kali hendak berbuat sesuatu yang disukai, ada orang kedua yang perlu dipertimbangi. Apalagi jika orang kedua tidak suka dengan apa yang kita suka buat, sudah ada percanggahan di sana.

Dulu hidup menyara diri sendiri dengan sedikit pendapatan yang ada. Kini sedikit pendapatan yang ada dikongsi berdua pula. Malah nampaknya si dia pula yang lebih dalam menghabiskan apa yang ada. Si saya pula penat bekerja. Dulu tak ada orang yang perlu di sara, kini ada anak orang yang menjadi bini kita yang wajib diberi nafkahnya. Lama-lama ditambahkan rezki, dapat cahaya mata. Dengan pendapatan yang lebih kurang sama, daripada menyara diri sendiri kepada menyara isteri sama kini menyara tiga jiwa. Saraan si anak yang kecil pun tidak murah rupanya, barangkali lebih mahal dari menyara ibunya. Menyara si ibu mungkin lebih kepada makan pakai dan sedikit perhiasan dan soleknya. Menyara anak kecil lebih lagi; seluarnya dua lapis, pakai sarung tangan lagi, sarung kaki lagi, sarung kepala lagi, lapisan dalam seluar pula wajib ditukar berkali-kali dalam sehari, siang dan malam, minumannya pun bukan tiga kali sehari, mungkin 13 kali atau lebih lagi? Harga setin kecil tepung minumannya pula tidak sekecil tinnya. Itulah nasib kalau tidak minum susu ibu.

Itu baru anak kecil, kalau anak sudah besar dia pandai main pula. Macam-macam mainan dia nak. Kalu dah besar lagi, nak kena hantar ke tadika pula, kemudian sekolah. Kalau kecil sekalipun, kalau ibunya bekerja, nak kena hantar ke nursery juga. Bukan kecil juga belanjanya. Itu baru anak seorang, kalau sudah dua orang, tiga orang dan lebih orang?

Dulu masa sebelum kahwin, tak banyak kerja kena buat. Kalau di rumah pun, ibu yang buat. Paling-paling pun tolong ibu saja. Tapi kini, setelah kahwin, kita sendiri yang menjadi taukenya. Dari pagi sampai ke malam, kitalah tekongnya. Masak pun kita, basuh pinggan mangkuk pun kita, basuh baju kain pun kita, jemur baju kain pun kita, angkat baju kain pun kita, lipat baju kain pun kita, seterika baju kain pun kita. Mana tidak tension-nya! Itu belum masuk jaga anak lagi. Belum masuk kemas rumah lagi. Itulah tanggung jawab setelah menikah, walaupun sebenarnya kalau dari segi fikah itu bukan tanggung jawab isteri, tetapi apabila telah disuruh suami melakukan sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama, jadi wajiblah jadinya. Pun pula memang sudah menjadi budaya masyarakat  kita, bahkan masyarakat dunia. Apa salahnya sang suami, tolong-tolonglah isteri, takkan tak faham-faham kot.

Dulu ibu bapa kita mungkin masih sihat. Ya, masih muda. Tapi kini, setelah anak kita mungkin  masuk darjah dua atau tingkatan dua atau tahun dua university, ibu bapa kita mungkin sudah sakit-sakit, tidak Nampak mata, beruban pastinya, bahkan mungkin ada yang sudah tiada, kembali ke rahmatullah. Sakit memerlukan belanja untuk merawatnya. Satu lagi tanggung jawab kita sebagai anak.

Apabila anak sudah besar, anak pula nak masuk sekolah asrama, kolej terkemuka, universiti utama. Anak dewasa pula mahu kahwin. Anak yang dah kahwin pula dapat cucu, kadang kita juga yang kena tolong menjaganya.

Memang tanggung jawab kita akan semakin bertambah, tak akan makin berkurang biarpun kita makin menua. Tapi apakah kita akan membenarkan keadaan bahawa dengan bertambahnya tanggung jawab, kita semakin kurang kesempatan untuk memberikan kasih sayang, atau melayan ahli keluarga dengan penuh kasih sayang atau meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama keluarga.

Sesungguhnya tidak! Kita tidak boleh membiarkan diri kita dikuasai oleh kesibukan melaksanakan tanggung jawab kita. Memanglah tugas kita adalah tanggung jawab yang mesti dilaksana, tetapi kita mestilah bijak mengaturnya agar jangan sampai kita melalaikan untuk melaksanakan tanggung jawab memberi kasih sayang kerana melaksanakan tanggung jawab yang lain.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: