Hidup Selepas Nikah – Teguh dan Sabar

Banyak sebab orang menikah. Antaranya ialah kerana menyahut seruan agama – melaksanakan sunnah Rasulullah, melengkapkan separuh lagi keimanan. Ada juga untuk menjaga agama dirinya – menghalalkan perhubungan lelaki perempuan, mengelakkan dosa pergaulan bebas laki perempuan, mengelakkan zina termasuk zina mata dan zina pancaindera lain. Ada yang berkahwin untuk mencari ketenangan hidup, merasai nikmat kebahagiaan, menyayangi dan disayangi. Ada yang berkahwin dengan harapan selepas kahwin rezeki akan semakin luas dan akhlak bertambah baik. Ada yang kahwin kerana pertimbangan Risalah yang dibawa, untuk melancarkan lagi penyebarluasannya. Ada yang berkahwin untuk mendapatkan cahaya mata, seri rumah tangga, penerus kelangsungan manusia, pewaris perjuangan mulia. Banyak lagi sebab-sebab yang mulia yang akhirnya menyatukan dua manusia dan membina sebuah rumah tangga Islam.

Sebab menikah adalah satu perkara atau satu pokok persoalan. Melayari hidup selepas pernikahan adalah satu perkara atau satu pokok persoalan lain. Keteguhan iman akan menentukan sama ada hidup selepas pernikahan akan selari dengan sebab pernikahan atau tidak. Banyak cabaran, dugaan dan ujian yang datang selepas pernikahan. Jika tidak dihadapi dengan sewajarnya, cabaran, dugaan dan ujian ini akan menewaskan pasangan yang berkahwin dan akhirnya menjadikan hidup selepas kahwin jauh berbeza atau lari dari sebab perkahwinan. Jika sebab perkahwinan adalah kerana hendak meneguhkan pembawaan Risalah yang dibawa, selepas banyak ujian, cubaan dan dugaan datang dalam hidup selepas kahwin dan gagal dihadapi dengan baik, hidup selepas kahwin akan jadi jauh lari dari matlamat asal untuk meneguhkan pembawaan Risalah. Apa yang terjadi adalah sebaliknya, Risalah yang hendak dibawa hanyut entah ke mana malah hidup berkeluarga harian pun tunggang langgang dan caca merba, usah disebut ketengan dan bahagia, ia hilang entah ke mana.

Apa yang perlu disedari? Kita silap apabila menyangka bahawa hidup adalah sekadar menurut arusnya, membiarkan berlaku apa yang akan berlaku, tanpa merancang dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Sesungguhnya tidak ada yang boleh dibiarkan dengan hidup. Hidup memerlukan perancangan. Kita silap apabila menyangka bahawa hidup akan mengalir tenang. Hidup bukanlah air tasik yang bertakung. Bahkan air tasik yang bertakung belum tentu akan aman, siapa jamin di dalamnya tiada buaya? Hidup adalah laut yang kadang ia tenang dalam kebiruan airnya dan memberikan ketenangan mata memandang kepada kita tetapi hidup juga adalah laut yang kadang ia bergelora dan geloranya boleh terjadi bila-bila. Demikianlah hidup saudaraku! Kita patutnya telah menyediakan tetapan minda yang sedemikian bahawa hidup ini adalah giliran antara tenang dan gelora. Pasti ada dua perkara dalam hidup ini, tenang dan gelora, bukan satu sahaja iaitu tenang semata. Kita silap apabila menyangka dan mengharapkan hidup ini akan tenang semata, sahaja dan selamanya. Tidak! Tidak! Hidup ini pasti akan tenang, dan pasti akan bergelora, dengan izin Allah, Cuma kita tidak tahu bila masanya. Ia seperti mati, pasti, tapi tidak tahu bila.

Oleh yang demikian, kita perlulah menetapkan minda dan bersedia bahawa hidup ini pasti akan menerima gelora, Cuma tak tahu bila. Apabila kita sudah menyangka seperti itu dan bersedia untuk menghadapinya, barulah kita dapat menghadapi gelora itu dengan tenang – teguh dan tabah. Jika kita tersilap sangka dan tersilap harap bahawa hidup ini akan tenang saja selamanya, tika gelora itu datang, kita akan jadi gelabah, tidak tentu hala dan mudah putus asa. Lebih bahaya, putus harap kepada Allah dan bersangka buruk pada-Nya apabila gelora itu tak mampu kita hadapi dengan baik.

Dalam satu cengkerang kacang, kita menyimpulkan bahawa kita perlu ada persediaan minda yang betul bahawa hidup ini adalah giliran antara tenang dan gelora, apabila gelora itu datang kita hendaklah menghadapinya dengan teguh dan tabah, penuh harap dan percaya pada Allah. Sesungguhnya dunia ini bukanlah masa bermudah-mudah, tetapi masa untuk teguh dan tabah menghadapi Ujian Allah agar Dia dapat membezakan mana hamba-Nya yang beriman dan memberikan balasan setimpalnya di Akhirat kelak. Ayuh kita beriman, teguh dan tabah!

Semoga keteguhan dan ketabahan kita menghadapi gelora hidup ini akan memastikan hidup kita selepas kahwin selari dan menuju matlamat asal kenapa kita berkahwin.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: