Memahami Isteri dan Suami (3)

Jika anda lelaki, anda lebih cenderung berorientasikan pencapaian hasil kerja atau usaha anda. Anda akan berusaha mempelajari ilmu dan kemahiran serta meningkatkan keupayaan diri anda agar anda berjaya mencapai apa yang anda mahu. Anda akan membuat kerja anda sehabis baik mengikut cara yang anda suka. Anda sukakan kebebasan dan kreativiti mengikut fikiran anda. Anda tidak suka dikongkong, dipaksa-paksa, diarah-arah apalagi diperlakukan seperti anda seorang yang bodoh. Sebaliknya, jika anda wanita, anda akan lebih berorientasikan hubungan sosial. Anda akan berasa sejahtera dan gembira jika anda mempunyai orang atau kumpulan orang yang dapat bersosial dengan anda, yang menjadi tempat anda meluahkan perasaan dan pandangan, yang sudi mendengar percakapan anda, yang prihatin dan memberi perhatian kepada anda, yang mesra dan memberikan kasih sayang kepada anda, yang membuat anda senang dengan pujian dan pujaannya.

Oleh itu, jika anda adalah suami, anda perlulah mengetahui hakikat orientasi wanita atau isteri anda seperti tersebut di atas. Untuk menjaga kesejahteraan rumah tangga, apabila berbuat sesuatu, anda perlu mengambil kira orientasi isteri anda. Anda tidak boleh melakukan sesuatu berdasarkan orientasi kelelakian anda sahaja. Sebagai contoh, anda sanggup bekerja keras untuk menyiapkan sesuatu kerja yang anda sedang buat. Anda mahu memastikannya berjaya dengan cemerlang kerana hanya dengan kejayaan cemerlang anda akan gembira dan puas hati. Untuk mencapai kejayaan itu, anda sanggup memisahkan diri, mengasingkan diri, ‘bertapa’ atau bersunyi seorang diri kerana ingin fokus kepada kerja anda agar siap dengan sempurna. Anda sanggup melambatkan aktiviti lain seperti makan, keluar menemani isteri membeli belah dan lain-lain. Anda sanggup berpisah sementara dengan isteri, kerana anda beranggapan bahawa perpisahan ini adalah sementara sahaja dan adalah pengorbanan anda untuk berjaya dan memberikan perkongsian kejayaan kepada isteri juga. Jelas kelihatan bahawa orientasi anda adalah pada hasil kerja anda.

Sedangkan, orientasi wanita adalah pada hubungan sosial. Wanita sebenarnya tidak kisah sangat kepada hasil kerja. Yang mereka kisahkan dan mahukan ialah hubungan sosial yang baik. Dalam hubungan sosial suami isteri, yang diperlukan oleh isteri bukanlah sangat kejayaan cemerlang gilang gemilang suami dalam hasil kerjanya, tetapi perhatian suami kepadanya, kasih sayang suami kepadanya, belaian mesra suami kepadanya, masa suami bersamanya, kesudian suami mendengar dan melayan celotehnya. Itulah orientasi wanita atau isteri. Dalam contoh tadi, ketika suami sedang syok menyiapkan hasil kerjanya agar cemerlang sambil menyangka bahawa kejayaan hasil kerjanya akan menggembirakan isterinya, si isteri terus menderita kerana dia ditinggalkan kesepian oleh suami untuk tempoh masa lama, suami tidak memberikan perhatian kepadanya apalagi untuk membelai manjanya, suami tidak meluangkan masa untuk menemaninya atau mendengar celotehnya. Apabila suami gembira kerana siap dengan hasil kerjanya yang berjaya, isteri terus murung dan bersedih kerana diabaikan. Kejayaan suami tidak dapat dikongsi kecapi olehnya. Oleh itu, jika anda adalah suami, janganlah terlalu larut dengan orientasi usaha atau kerja anda saja. Letak-letaklah selalu diri anda di tempat isteri anda dan fahamilah serta ingatilah orientasi diri wanita serta layanilah wanita atau isteri anda selayaknya atau seperti dikehendakinya.

Jika anda adalah wanita, anda maklum bahawa orientasi anda adalah pada hubungan sosial. Anda suka jika suami anda banyak menghabiskan masa bersama anda, melayan kerenah anda, mendengar dengan penuh minat celoteh anda. Anda juka suka bertemu kawan-kawan atau menghadiri majlis sosial kerana dapat berjumpa ramai kawan-kawan atau kenalan yang memberi peluang kepada anda  memberitakan khabar, berkongsi masalah, berbincang bersama, memperdengarkan idea anda dan sebagainya. Anda suka melawati jiran-jiran atau kawan untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti di atas yang memberikan keselesaan, kelegaan, keceriaan, kepuasan dan kegembiraan kepada anda.

Sementara itu, suami anda atau lelaki pula berorientasikan hasil kerja mereka menyebabkan mereka cenderung menghabiskan banyak masa untuk memfokuskan kepada kerja agar berhasil dengan jaya. Suami juka menjangkakan hal yang sama kepada isteri, kerana kejayaan hasil kerja adalah orientasi semulajadi lelaki. Suami suka jika isteri menggunakan banyak masanya untuk membuat kerja seperti bekerja di luar untuk membantu suami atau melakukan kerja rumah dengan sempurna bagi suri rumah atau melakukan membantu suami dengan melakukan kerja tertentu yang sedang dilakukan oleh suami. Suami sendiri rela menghabiskan banyak masa untuk bekerja.

Suami atau lelaki kurang cenderung memikirkan tentang orientasi hubungan sosial isteri atau wanita. Suami tidak merasakan ada keperluan yang besar untuk isteri lama-lama menghabiskan masa bersama jiran-jiran atau kawan-kawan mereka. Suami lebih sukakan isteri yang banyak membuat kerja rumah daripada isteri yang suka menghabiskan masa bersama jiran-jiran atau keluar membeli-belah dengan kawan-kawan perempuan. Sementara itu, isteri merasakan bahawa masa mereka yang banyak dihabiskan dengan jiran-jiran dan kawan-kawan adalah perlu untuk melepaskan kerungsingan, berkongsi masalah, berbincang dan menjaga perhubungan atau mengeratkan persahabatan atau kejiranan. Isteri juga merasakan bahawa suami sepatutnya menghabiskan lebih banyak masa bersamanya berbanding masa yang panjang untuk bekerja. Oleh itu, sebagai isteri, anda perlulah memahami orientasi suami anda juga selain orientasi anda sendiri. Dengan itu, barulah anda dapat menyeimbangkan antara memenuhi kesukaan orientasi suami pada membuat kerja dan mendapat hasil yang bagus dengan orientasi kesukaan anda sendiri iaitu bersosial untuk melepaskan bebanan perasaan, berkongsi masalah dan berbincang serta mengeratkan perhubungan persahabatan atau kejiranan.

Jika anda lelaki, anda akan berasa sejahtera, puas hati dan gembira apabila mendapati bahawa diri anda adalah berharga di sisi seseorang atau ramai orang dan anda diperlukan oleh mereka untuk kelangsungan hidup mereka. Suami akan berasa bahagia jika dia merasakan dirinya amat berharga di sisi isterinya dan sangat diperlukan oleh isterinya untuk kebahagiaannya. Suami akan berasa gembira apabila isterinya meminta dengan baik dan penuh hormat kepadanya agar membantu atau menolong isterinya dalam melakukan sesuatu. Permintaan yang penuh hormat daripada isteri kepada suami memberikan mesej kepada suami bahawa dia mempunyai kelebihan, kepandaian, kemampuan dan kepakaran tertentu berbanding isterinya. Penerimaan mesej sebegini oleh lelaki memuaskan egonya dan menyebabkan dia berasa gembira, lalu dengan sukarela dan penuh kegembiraan melakukan khidmatnya kepada isterinya. Tetapi, para isteri perlu berawas dalam kehendaknya. Beritahulah kehendak anda dengan gaya permintaan yang penuh hormat, bukan dengan gaya suruhan. Suruhan menyampaikan mesej kepada lelaki bahawa dia berada di bawah penguasaan wanita sedangkan keadaan itu sangat mencabar ego seorang lelaki. Suruhan wanita kepada lelaki atau isteri kepada suami memberikan mesej kepada suami bahawa dirinya adalah rendah, hina dan tidak berharga. Mesej sebegini sangat mencabar ego lelaki menyebabkan lelaki atau suami berasa marah serta enggan melaksanakan suruhan wanita atau isteri tersebut. Oleh itu, wanita atau isteri perlulah memahami orientasi lelaki atau suami bahawa mereka gembira jika anda dengan hormat membuat mereka merasakan diri mereka berharga dan diperlukan oleh anda.

Wanita pula berasa sejahtera dan gembira apabila merasakan dirinya diberikan perhatian, kasih sayang, penjagaan, belaian, pujian dan pujaan. Wanita atau isteri bukanlah tidak mampu membuat kerja sendiri atau menjaga diri sendiri, tetapi orientasi wanita ialah mereka merasa bangga dan mulia apabila diri mereka diistimewakan dengan diberi perhatian, kasih sayang, belaian, penjagaan, pujian dan pujaan. Keistimewaan yang dimahukan oleh wanita atau isteri itu diidamkan sepanjang masa, bukan bermusim. Lelaki atau suami pula cenderung menggunakan sedikit saja masa untuk bersama isteri dan menggunakan banyak masa lain untuk memfokuskan kepada kerjanya atau aktiviti kegemarannya. Lelaki atau suami cenderung mendekati dan melayani wanita atau isteri pada masa-masa tertentu yang mereka mahu berkasih sayang atau bermesra dengan wanita atau isteri saja. Mereka menggunakan masa lain untuk melakukan kerja-kerja untuk sara hidup keluarga atau melakukan aktiviti kegemaran mereka termasuk bersosial bersama kawan-kawan di luar. Kecenderungan beraktiviti dan kurang memberi masa dan perhatian pada isteri ini membuatkan isteri merasa kurang senang dan tidak berpuas hati dengan suami. Oleh itu, sebagai suami, anda perlulah memahami orientasi wanita bahawa mereka memerlukan perhatian, masa, kasih sayang, penjagaan, belaian, pujian, pujaan dan kebersamaan anda dengan mereka. Oleh itu, berimbang-imbanglah dalam melakukan aktiviti harian anda agar masa yang secukup dan seadilnya digunakan untuk bersama isteri dan memberikan perhatian kepadanya.

Apabila ada masalah timbul, lelaki menghadapinya dengan memencilkan diri dan berdiam diri untuk memfokuskan kepada berfikir bagi menyelesaikan masalah. Lelaki berasa sangat gembira dan puas hati apabila dia berjaya menyelesaikan sesuatu masalah setelah dia berfikir keras untuk mengatasinya. Kecenderungan lelaki atau suami memencilkan diri dan berdiam diri untuk berfikir mencari penyelesaian masalah ini menyebabkan masa keceriaan bersama isteri berkurangan. Jika pun dapat duduk bersama, keceriaan hilang kerana suami telah mendiamkan dirinya dari menimbulkan keceriaan. Isteri pula tidak mendapat perhatian dan belaian menyebabkan isteri berasa tidak puas hati dengan suami. Untuk meredakan keadaan, sebagai isteri, anda perlu faham orientasi lelaki bahawa mereka menghadapi masalah dengan mendiamkan diri atau memencilkan diri untuk berfikir menyelesaikan masalah. Oleh itu, anda perlulah memberi sedikit ruang dan masa kepadanya agar dia dapat menyelesaikan masalahnya.  Malah, anda boleh membantunya dengan menawarkan diri untuk membantu suami menyelesaikan masalah itu jika dia mahu kongsikannya dengan anda. Jika suami kongsikan masalahnya dengan anda, berilah bantuan semampu anda, setidak-tidaknya sokongan moral dan kata-kata semangat. Jika suami tidak mahu mengongsikan masalahnya dengan anda, janganlah bersangka buruk bahawa suami anda menganggap anda bodoh atau tidak mempercayai anda atau sebagainya, tetapi berprasangkalah baik dengan menganggap suami anda tidak mahu membebankan masalah kepada anda. Jika anda sebagai suami pula, walaupun anda mempunyai masalah dan memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah anda, anda juga perlu tahu dan akur kepada orientasi wanita iaitu isteri anda sebagai wanita memerlukan kehadiran anda di sisi pada masa-masa yang sepatutnya, memberikan perhatian kepadanya dan menghiburkannya.

Wanita pula menghadapi dan menangani masalah dengan menghadirkan diri kepada orang lain dan menceritakan atau berkongsi masalah yang dihadapi. Wanita berasa sangat lega dan puas hati apabila dia berjaya mencurahkan perasaan bimbangnya terhadap sesuatu masalah yang dihadapinya kepada seseorang yang memberikan perhatian kepada masalahnya. Wanita bergelar isteri sangat memerlukan kehadiran dan kebersamaan suami untuk berkongsi masalah dan kebimbangannya. Bukan setakat kehadiran atau kebersamaan, malah yang lebih diperlukan ialah perhatian suami dan keprihatinan suami terhadap luahan masalah yang dihadapi oleh isteri. Tidak ada gunanya seorang suami berada di sisi isterinya tetapi tidak memberikan perhatian dan respon kepada luahan masalah isterinya, malah langsung tidak menunjukkan minat terhadap masalah yang diperkatakan atau lebih teruk menunjukkan reaksi tidak berminat langsung terhadap masalah yang dikongsi isteri. Oleh itu, sebagai suami, anda perlulah selalu hadir kepada isteri anda untuk mendengar celoteh dan permasalahannya dengan penuh perhatian dan minat, jika memungkinkan sehari sekali atau sekali seminggu jika anda bekerja berjauhan atau mungkin sebulan sekali jika anda memang terpaksa amat tinggal berjauhan kerana kerja atau sebagainya. Sekalipun berjauhan, teknologi komunikasi terkini memungkinkan anda menghubungi isteri bila-bila masa. Oleh itu, hubungilah isteri sekali sehari atau beberapa hari sekali jika berjauhan. Sebagai isteri pula, anda perlulah faham bahawa suami anda tidak berminat untuk melayan celoteh masalah anda mungkin bukan disebabkan kemalasan suami anda tetapi disebabkan oleh anda sendiri. Anda mungkin tersalah dalam memilih masa  iaitu ketika suami anda sedang betul-betul sibuk, atau bercakap perkara yang terlalu remeh sedangkan suami anda mempunyai masalah lain yang jauh lebih besar atau anda bercakap terlalu banyak atau apa-apa saja kesalahan yang mungkin anda buat. Oleh itu, pilihlah masa yang sesuai untuk berkongsi rasa dan masalah dengan suami. Janganlah terus menghamburkan masalah anda ketika suami baru balik kerja dalam keadaan penat yang amat. Sebaliknya, layanlah dulu suami dengan baik, berikan minuman dan rehat, jangan diasak dengan pelbagai soalan yang memerlukan suami melayan anda dalam kepenatannya, dan sediakanlah masa yang tenang dan bahagia untuk anda berkongsi masalah dan berbincang seperti masa makan malam atau masa tenang selepas solat berjemaah bersama suami isteri. Setiap kali berbicara, pilihlah masalah-masalah yang penting dan hadkan kepada beberapa sahaja. Jangan cuba berbicara semua masalah kerana ia boleh jadi terlalu banyak, terlalu lama dan membosankan. Utamakanlah masalah yang utama terlebih dahulu. Berusahalah untuk mencari penyelesaian sendiri saja terhadap masalah yang sangat kecil dan remeh. Janganlah semua masalah dari sebesar semut hingga sebesar gajah hendak dibebankan bersama kepada suami. Bersederhanalah agar anda pula mendapat perhatian yang sewajarnya dari suami.

Apabila isteri berkongsi masalah kepada suami, yang diperlukan segera ialah perhatian dan keprihatinan suami terhadap masalah itu, bukannya cadangan jawapan atau penyelesaian kepada masalah itu. Yang diperlukan oleh isteri ialah perhatian, sokongan dan motivasi yang boleh menaikkan semangatnya dan membaikkan perasaannya. Sementara itu, suami sebagai lelaki lebih bersifat berorientasikan logik, fakta dan data. Apabila diberitahu tentang sesuatu masalah, lelaki akan secara automatis cenderung untuk menyelesaikan masalah itu atau memberikan cadangan-cadangan penyelesaian atau jawapan kepada masalah yang dipersembahkan, sedangkan dalam orientasi wanita, masalah yang diceritakan kepada lelaki atau suami, bukanlah untuk diberikan jawapan atau penyelesaian, tetapi cukup sekadar diberikan perhatian, kerana yang dicari bukanlah jawapan, tetapi yang dicari adalah tempat yang baik untuk meluahkan perasaan dan didengari.

Lelaki lebih cenderung memahami fakta dan data daripada sesuatu pernyataan manakala wanita lebih cenderung memahami kedalaman sesuatu perasaan yang terkandung dalam sesuatu pernyataan. Contoh ayat “Abang tak pernah tolong sayang” yang diluahkan oleh seorang wanita adalah sangat berbeza maksudnya kepada lelaki dan wanita. Lelaki memahaminya daripada fakta yang terkandung dalam ayat itu. Faktanya ialah si suami tidak pernah menolong isterinya. Mendengarkan ayat ini, pastilah si suami terus melenting kerana segala penat lelah dan usahanya selama ini demi isterinya yang tercinta tidak dihargai langsung, malah dipadamkan dan seperti tidak diingati segala pertolongannya. Pernyataan sebeginilah yang menyebabkan lelaki mudah marah.

Sedangkan, yang dimaksudkan wanita berkenaan bukanlah fakta yang disebut, tetapi kedalaman maksud yang terkandung dalam pernyataan itu. Ayat seperti di atas bukanlah memberi maksud ‘tidak pernah menolong’ tetapi ia menunjukkan kedalaman perasaan kecewa wanita berkenaan pada masa itu. Kedalaman dan kekuatan kekecewaannya itu seolah-olah suaminya tidak pernah menolongnya. Suaminya mungkin selalu menolongnya sepanjang masa, tetapi kegagalan suaminya menolongnya pada saat-saat pertolongan itu sangat diperlukan berbanding masa-masa lain menyebabkan kekecewaan yang amat dan mendalam kepada seseorang wanita. Kekecewaan yang sangat dalam itulah yang melahirkan pernyataan kontroversi seperti di atas.

Memahami hakikat seperti tersebut di atas, adalah sangat penting kepada lelaki agar tidak cepat melenting, tetapi merefleksi pemikiran, orientasi dan cara pandang wanita terlebih dahulu sebelum memberikan respon atau bertindak. Bagi wanita pula, memahami hakikat lelaki yang cenderung memahami fakta, maka wanita perlulah berhati-hati dalam meluahkan perasaan dan membuat pernyataan agar maksud yang hendak disampaikan tidak disalah ertikan kerana boleh mengakibatkan musibah yang lebih besar jika disalahertikan.

Semoga membantu anda melayarkan kehidupan dengan lebih tenang.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: