Apabila Si Comel Tak Kunjung Tiba

Bagi pasangan yang telah mendirikan rumah tangga Islamnya, terutama yang masih baru dan segar melalui ijab dan Kabul, kehendak yang kedua akan secara alami tiba setelah kehendak pertama telah tercapai. Kehendak pertama ialah mendirikan rumah tangga sementara kehendak kedua ialah menimang cahaya mata.

Cahaya mata adalah rezki daripada Allah. Memiliki cahaya mata adalah rezki. Belum memilki cahaya mata atau tidak memiliki cahaya mata pun juga di satu sisi adalah rezki daripada Allah. Belum memilki cahaya mata atau tidak memiliki cahaya mata, di satu sisi yang lain adalah Ujian daripada Allah. Bahkan, dikurniakan cahaya mata juga adalah Ujian daripada Allah. Rezki dan ujian, datang bersama,  mengiringi datangnya cahaya mata. Rezki dan ujian jugalah yang datang bersama-sama kepada kita ketika kita ditakdirkan tidak dikurnia cahaya mata.

Al Quran telah mengungkapkan ‘anak’ sebagai khabar gembira, perhiasan dunia, dan keindahan yang sedap dipandang mata kepada kita. Namun al Quran juga mengungkapkan bahawa anak adalah Ujian atau cubaan buat kita, bahkan anak boleh jadi menjadi musuh kepada kita. Ujian Allah adalah untuk melihat siapakah di kalangan kita yang benar-benar beriman kepada-Nya. Bagaimana diri anak yang satu boleh jadi khabar gembira, perhiasan dunia, dan keindahan yang sedap dipandang mata sekaligus boleh menjadi ujian atau cubaan dan musuh bagi diri kita?

Anak adalah makhuk Allah. Anak bagaikan kain putih yang bersih. Tergantung kepada kita bagaimana mahu mencoretnya. Tergantung kepada kita bagaimana hendak menyikapi kehadiran dan keberadaannya. Tergantung kepada kita juga bagaimana hendak menyikapi jika kain putih itu tidak kita miliki, jika anak itu ditakdirkan tidak dikurniai.

Memiliki sehelai kain putih dan kita berupaya mencoraknya dengan corakan yang pelbagai warna dan cantik pastinya menjadi suatu kegembiraan kepada kita. Memiliki anak dan membesarkannya dengan didikan Islami yang murni adalah kegembiraan buat kita. Namun, bagaimana harus kita bersikap dan apa harus kita berbuat jika kita tidak memiliki kain putih itu? Sekalipun kita memiliki warna yang cantik-cantik, namun kita tidak dapat mencorak dan mewarna kerana tidak memiliki kain putih itu. Sekalipun kita punya kemahuan dan kemampuan untuk membesar dan mendidik seorang anak, namun ketiadaan anak boleh jadi takdir yang terbaik untuk kita kerana Allah sang Khaliq yang menciptakan makhluk bernama anak itu Maha Tahu tentang baik buruk kita dikurniai atau tidak dikurnia seorang anak.

Boleh jadi tidak memiliki sehelai kain putih adalah lebih baik dari memilikinya. Boleh jadi, dengan memiliki kain putih, ia akan menjadi kotor kerana kita tidak pandai menjaganya. Boleh jadi sehelai kain putih yang murni menjadi sangat buruk dan hodoh kerana kita tidak pandai mencorak dan mewarnanya. Sehelai kain putih yang kotor, buruk dan hodoh itu kemudiannya boleh jadi bahan bakar yang mencetuskan kebakaran yang membakar rumah kita dan seluruh harta di dalamnya.

Boleh jadi tidak memiliki seorang anak lebih baik dari memilikinya. Boleh jadi, anak yang kita miliki akan menjadi orang yang derhaka dan tidak berguna kerana kita tidak pandai menumbuhbesar dan mendidiknya. Boleh jadi anak yang kita miliki akan menjadi orang yang membawa keburukan, memalutkan najis ke muka kita dan menjatuhkan maruah keluarga kita. Boleh jadi anak yang kita miliki menjadi penyebab kita semakin jauh daripada Allah kerana terlalai dengan keseronokan nikmat hadirnya anak.  Boleh jadi anak yang kita miliki dan besarkan akhirnya menjadi musuh kepada kita kerana terlalu memanjakannya. Boleh jadi anak yang kita miliki menjadi penyebab kita terjerumus ke dalam neraka kerana kegagalan dalam mendidiknya di dunia. Banyak kemungkinan buruk yang boleh terjadi kepada kita kerana lahir dan hadirnya anak dalam hidup kita.

Kerana Allah Maha Tahu, dia mungkin tidak mengurniakan anak kepada kita kerana tidak mahu kita terjebak dalam kehidupan yang buruk dan gelap kerana hadirnya anak yang buruk dan jahat. Allah lebih tahu bahawa kehidupan tanpa anak adalah lebih baik kepada kita berbanding dikurniakan anak. Percaya saja pada Allah jika kita mengatakan kita beriman kepada Allah. Jika tidak percaya pada Allah, di mana bukti keimanan kita. Itulah ujian dari Allah, untuk melihat siapakah di kalangan hamba-Nya yang betul-betul beriman.

Boleh jadi Allah tidak mengurniakan cahaya mata kepada kita kerana Dia hendak mengurniakan sesuatu yang lebih berharga daripada anak. Pahala dan syurga adalah lebih baik dan lebih berharga daripada anak. Anak adalah sumber kebahagiaan, tetapi pahala dan syurga jauh lebih bahagia. Anak adalah kesenangan sementara, manakala pahala dan syurga adalah kesenangan abadi buat selamanya. Prasayarat untuk kebahagiaan abadi itu adalah kesabaran yang berpanjangan dan keimanan yang penuh kepada Allah tanpa prasangka buruk kepada-Nya.

Dikurniakan cahaya mata atau tidak dikurniakan cahaya mata selepas habis jalan berusaha dan mencuba, adalah kedua-duanya rezki dan kurniaan yang terbaik daripada Allah untuk kita. Yang pasti  juga, dikurniakan anak adalah amanah serta ujian untuk kita. Tidak dikurniakan anak juga adalah ujian untuk kita. Bentuk saja lain, tetapi kedua-duanya adalah ujian. Selamat menghadapi ujian! Semoga Berjaya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: