Nikah dan Rumah yang Dibina

Kita yang menikah dan kitalah yang membina rumah tangga kita itu. Kita yang akan mencoraknya dengan corakan apa yang kita suka. Kita yang akan menyusun atur kehidupannya. Kita yang akan menghiasnya dengan hiasan yang kita suka, kerana rumah tangga ini adalah milik kita.

Bagaimana kita menghiasnya boleh menjadi pelbagai kerana ruang kekreatifan itu tidak ada sempadan. Tetapi apa yang pasti, kita mestilah ada titik rujukan, atau panduan dalam menghias rumah tangga kita. Apakah titik rujukan itu? Barangkali titik rujukan itu ialah jawapan kepada soalan ‘kenapa’ kita membina rumah tangga ini.

Jika kita membina sebuah bangunan untuk tujuan kegunaan pejabat, pastilah kita menghiasnya ala-ala pejabat. Jika kita membina sebuah bangunan untuk tujuan penginapan, pastilah kita menghiasnya ala-ala hotel, apartmen atau rumah. Sebuah bangunan yang sama kelihatan luarannya boleh menjadi pejabat atau boleh menjadi hotel, tergantung bagaimana kita mengatur, mencorak dan menghias dalamannya. Demikianlah rumah tangga.

Kenapa kita membina rumah tangga ini? Jika kita membina rumah tangga ini kerana Allah, pastilah kita akan menghiasinya dengan aktiviti-aktiviti yang membawa kepada pencapaian redha Allah. Jika kita membina rumah tangga ini kerana hendak meneruskan kelangsungan Risalah yang dibawa oleh Baginda Rasulullah, pastilah kita mewarisi usaha-usaha Rasulullah dengan penuh keteladanan daripada Baginda saw. Jika kita membina rumah tangga ini kerana hendak meyebarkan dakwah, pastilah setiap gerak kerja yang akan dilangsungkan dalam rumah tangga ini akan mengambil kira peluang dan kesannya kepada urusan dakwah. Jika rumah tangga ini dibina kerana hendak mengutuhkan tarbiah diri dan orang lain, pastilah ia sentiasa mengutamakan kepentingan tarbiah berbanding perkara lain dalam setiap keputusan yang diambil oleh pengendali rumah tangga ini.

Jika rumah tangga ini dibina kerana hendak menyelamatkan diri daripada maksiat yang berkaitan dengan tidak berumah tangga, insyaAllah diri dapat diselamatkan daripada maksiat itu, jika iman terus dipertahan. Tapi apakah kerana hendak menyelamatkan diri daripada maksiat sahaja? Kenapa sangat individualistic? Kenapa tidak boleh pergi lebih daripada itu? Kenapa tidak berkahwin kerana juga untuk menyelamatkan ummat daripada maksiat? Bukankah itu lebih baik? Jika rumah tangga ini dibina kerana hendak memenuhi tuntutan biologi, insyaAllah tuntutan itu terpenuhi. Tapi, apakah kerana hendak memenuhi tuntutan biologi sahaja? Kenapa sangat individualistic? Kenapa tidak boleh pergi lebih daripada itu? Kenapa tidak berkahwin kerana juga untuk memenuhi tuntutan dakwah yang didahagakan ummah? Bukankah itu lebih baik? Jika rumah tangga ini dibina kerana mengimpikan kebahagiaan dan ketenangan hidup, insyaAllah kebahagiaan dan ketenangan hidup itu akan tercapai. Tapi, apakah kerana hendak mencapai kebahagiaan dan ketenangan hidup sahaja? Kenapa sangat individualistic? Kenapa tidak boleh pergi lebih daripada itu? Kenapa tidak berkahwin kerana tujuan mencapaikan kebahagiaan dan ketenangan hidup buat ummah ini di dunia dan di akhirat nanti? Bukankah itu lebih baik?

Rumah tangga ini akan dibina berdasarkan tujuan apa ia diniatkan sebelum membinanya. Corak hiasan dan aturan rumah tangga akan disesuaikan dengan tujuan rumah tangga itu dibina. Terserahlah kepada pembinanya dan kekreatifannya untuk menghiasi rumah tangga yang dibina. Apakah rumah tangganya akan dihiasi dengan solat fardhu berjemaah oleh suami dan anak-anak lelaki di masjid, solat fardhu berjemaah di rumah oleh isteri dan anak-anak, atau solat fardhu berjemaah di rumah diimami oleh bapa, bacaan quran di rumah yang dilazimi pada selepas solat fardhu atau awal pagi atau tengah hari atau petang atau malam, bacaan-bacaan doa sebelum dan selepas berbuat sesuatu, bacaan dan pengajian hadis di rumah, ahli keluarga yang menutup aurat ketika keluar rumah dan ketika kehadiran bukan muhrim di rumah sendiri, membaca zikir selepas solat, pagi dan petang dan melakukan amalan ibadat yang lain adalah ditentukan oleh pendiri rumah tangga itu sendiri.

Untuk apakah kita mendirikan rumah tangga kita dan bagaimanakah corak hiasannya? Kalau sudah lurus rumahnya dan cantik hiasannya, mantap! Kalau masih miring rumahnya dan kacau corak hiasnya, sekarang juga boleh melurus dan mengindahkannya, selama nyawa masih ada. Selamat berusaha!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: