Menyeimbangkan antara cepat dan terburu-buru

Cepat merujuk kepada kahwin dalam usia yang awal. Terburu-buru merujuk pelaksanaan proses perkahwinan yang tergesa-gesa. Banyak aktivis islam yang mahu kahwin awal, lantaran mengetahui anjuran Rasulullah agar kahwin awal dan mengetahui terlalu banyaknya kebaikan berkahwin di awal usia. Tetapi dalam kebanyakan kes, niat dan kemahuan murni aktivis islam terhalang oleh keluarga disebabkan oleh pelbagai faktor tetapi faktor yang paling utama ialah kedangkalan pengetahuan keluarga dan masyarakat terhadap anjuran Islam kepada perkahwinan awal dan kebaikan perkahwinan awal di sisi syariah. Inilah faktor paling utama yang perlu ditangani sebelum mengatasi masalah lain yang bersifat lebih minor. Bagaimana menangani?

Antara cara-cara menangani  kedangkalan pengetahuan keluarga dan masyarakat terhadap anjuran Islam kepada perkahwinan awal dan kebaikan perkahwinan awal di sisi syariah ialah usaha tarbiah dan dakwah. Keluarga dan masyarakat adalah target dakwah. Dalam situasi semasa, ketika ummat Islam hidup terpecah-pecah, kucar kacir, tidak bersatu padu, hilang jatidiri Muslim dan hidup dalam kehinaan tanpa pimpinan Khalifah, ditambah dengan penguasaan dan penjajahan minda oleh bukan Islam, keluarga dan masyarakat kita menjadi mangsa keadaan. Banyak amalan harian, bulanan dan tahunan dilaksanakan bukan kerana kefahaman terhadap Islam, tetapi kerana melaksanakan budaya dan warisan tradisi, termasuklah dalam bab perkahwinan.

Keluarga kita adalah orang yang paling dekat dan paling rapat untuk didakwahi termasuk dalam bab perkahwinan menurut kehendak Islam. Allah menyuruh kita berdakwah, menyampaikan dengan kata-kata yang baik dan berhikmah (bijak – dari segi strategi). Allah juga menyuruh kita menyampaikan risalah Islam dengan kasih sayang. Allah menyuruh kita berbuat baik kepada kedua—dua ibu bapa. Allah juga menyuruh kita bermusyawarah (syura). Allah juga menyuruh kita mencegah kemungkaran dengan tangan (kuasa), atau jika tidak mampu, dengan perkataan dan selemah-lemahnya dengan keteguhan niat di hati.

Menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut kepada praktikal, kita bolehlah berbincang dengan ibu bapa dan keluarga kita, menerangkan kepada mereka ajaran-ajaran Islam yang sebenar tentang perkahwinan. Tentulah penerangan dan perbincangan itu dibuat dengan penuh sopan santun, kata-kata yang baik, berlembut, hormat dan berhikmah. Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak. Antara cara menyayangi anak (tapi tidak semestinya sentiasa) ialah memberikan apa yang dikehendakinya dan menuruti kehendaknya. Tetapi jika ibu bapa tetap berkeras dengan pendirian mereka yang nampaknya tidak begitu selari dengan syariah Islam, maka kemungkaran itu hendaklah dicegah dengan salah satu dari tiga cara disebutkan; tangan (kuasa), nasihat, atau niat dengan mengambil kira bahawa langkah pencegahan yang hendak dibuat itu tidaklah mendatangkan mudarat yang lebih besar berbanding mudarat yang sedia ada. Pilihlah mudarat yang lebih kecil apabila terpaksa memilih antara dua mudarat. Pilihlah mudarat yang sementara berbanding mudarat yang kekal apabila terpaksa memilih antara dua mudarat.

Apabila kita tidak ada kuasa untuk melawan ibu bapa dan nasihat kita tidak diendahkan, maka kita terpaksalah menerima ketentuan ibu bapa, maka jagalah hati agar teguh membenci kemungkaran dan tidak menikmati keseronokan yang ada selama terpaksa membiarkan diri terlibat dengan kemungkaran tersebut. Allah Maha Tahu dan setiap sesuatu itu dinilai berdasarkan niatnya, sekalipun matlamat tidak menghalalkan cara.

Pelaksanaan proses perkahwinan memakan masa, sama ada singkat atau panjang, bergantung kepada banyak faktor termasuk kesediaan pasangan dan kesediaan keluarga dari segi dalaman dan luaran seperti kesediaan mental, kemampuan kewangan, kerenah birokrasi institusi pentadbiran perkahwinan islam dan lain-lain. Pendek atau panjang tempoh perancangan dan pengurusan perkahwinan adalah relatif. Apa yang penting ialah perancangan dan pengurusan perkahwinan dibuat secara tersusun dan optimal dalam jangka waktu yang berpadanan.

Perancangan dan pengurusan perkahwinan yang tidak mempunyai banyak masalah (baca: cabaran) [pemikiran positif], relatifnya mengambil masa yang pendek. Demikianlah, perancangan dan pengurusan perkahwinan yang mempunyai banyak cabaran, relatifnya mengambil masa yang lebih lama. Cuma, untungnya, kesabaran menghadapi cabaran sama ada Berjaya dilepasi atau tidak, dapat mematangkan pasangan yang menghadapinya.

Tetapi, jika ada perancangan dan pengurusan perkahwinan yang tidak mempunyai banyak cabaran mengambil masa yang lama, ini pastinya disifatkan sebagai membazir masa atau berlengah-lengah terhadap kebaikan. Sebaliknya, jika perancangan dan pengurusan perkahwinan yang menghadapi banyak cabaran mengambil masa yang sangat pendek, ini diragukan sebagai terburu-buru.

Masalah yang timbul akibat terburu-buru boleh jadi pelbagai. Perancangan dan pengurusan perkahwinan yang dibuat dalam keadaan terburu-buru terdedah kepada terlepas pandang, bukan sahaja hal-hal remeh tetapi hal utama dan penting. Sangat memburukkan keadaan pada hari perkahwinan atau pada masa majlis berlangsung atau pada masa hendak digunakan apabila benda-benda penting terlepas pandang, tidak ada pada masa ia sepatutnya ada. Jika pun tidak terlepas pandang, keputusan yang dibuat dalam keadaan terburu-buru mungkin tidak tepat, lebih buruk kalau salah. Keputusan yang tidak tepat atau salah pastinya merugikan dari segi masa atau kewangan atau lain-lain, malah menjejaskan reputasi dan menjatuhkan maruah.

Terburu-buru hendak melangsungkan perkahwinan sedangkan persiapan belum siap mengundang padah yang besar semasa dan selepas perkahwinan dilangsungkan, terutama jika persiapan yang belum disiapkan ialah persiapan dalaman dari segi ilmu, kesediaan mental, ruhani dan lain-lain. Oleh itu, kita mesti menghindari sikap terburu-buru, tetapi pada masa yang sama tidaklah boleh berlengah-lengah terhadap kebaikan. Pokoknya, berusaha mempersiapkan, merancang dan mengurus dengan bijak. Berimbang; iaitu tidak terlalu tergesa-gesa dan tidak terlalu lambat, adalah jalan pertengahan, jalan keselamatan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: