Persiapan untuk memulakan rumah tangga Islam (Bait Muslim)

Persiapan untuk membina rumah tangga Islam (Bait Muslim) merangkumi persiapan secara zahir dan batin, persiapan jasadiah (material, kewangan), ‘aqliah (ilmu), ruhaniah (semangat) dan syu’uriah (emosi). Sudahkah bersedia? Persediaan tidak mestinya bersedia 100%, tetapi cukup dengan persediaan yang memadai. Persiapan yang memadai itu subjektif. Penilaiannya tergantung kepada kebijaksanaan kita. Baki persediaan yang belum siap disediakan boleh dibuat sepanjang jalan menuju hari pernikahan atau selepas pernikahan. Persediaan dan pembaikan diri hendaklah dilakukan bukan bermula jauh sebelum hari pernikahan dan tamat di majlis akad nikah sahaja tetapi ia berlangsung dan tidak akan pernah berhenti hingga suatu noktah yang pasti iaitu mati. Cuma persediaan sebelum hari pernikahan perlulah lebih intensif untuk mencapai peratusan persediaan yang memadai.

Persediaan material

Persediaan material penting kerana realitinya kita hidup di zaman materialistic. Mahu tidak mahu memang kita terpaksa hadapi reality dunia ini. Walaupun secara teorinya kita boleh memilih untuk melangsungkan pernikahan dan majlis pernikahan kita secara yang ringkas sahaja, tetapi menjadikan ia satu kenyataan tidak semudah memperkatakannya di bibir. Ya, memang kita mahu mudah dan ringkas, tidak membazir, serta menggunakan kekayaan untuk hal lain yang lebih penting i.e. infaq untuk belanja dakwah, tarbiah atau derma kepada rakyat dan mujahidin Palestin, tetapi hakikatnya perjalanan hidup kita tidak ditentukan oleh diri kita sendiri sahaja. Umumnya kita yang menentukan perjalanan hidup kita tetapi proses ke arah membuat keputusan itu bukan dibuat oleh kita sahaja tetapi melibatkan orang-orang lain yang mempunyai kuasa atau setidak-tidaknya pengaruh ke atas kita atau hubungan istimewa dengan kita yang menyebabkan tidak sopan untuk kita tidak mengendahkan atau menolak ke tepi atau tidak mempertimbangkan langsung pandangan, cadangan, kehendak dan suruhan mereka. Mereka boleh jadi ibu bapa kita (yang mempunyai kuasa atas kita), dan sanak saudara kita (yang mempunyai hubungan istimewa dengan kita dan secara adabnya kita mesti menghormati mereka). Apapun, jika kita berpegang pada prinsip keseimbangan, insyaAllah kita tidak akan terlalu mudah terlarut dengan desakan mereka hingga berlaku pembaziran, dan di sisi yang lain kita tidak akan terlalu berkeras dalam pendirian kehendak kita hingga mengguris hati mereka. Mereka adalah orang-orang yang dekat dan terkait dengan kita.

Kita tidak boleh selesa dengan banyaknya material / harta yang kita ada atau kita berasa material / harta yang kita ada ini sudah cukup. Kita juga tidak boleh terlalu kecut jika kita tidak punya banyak material / harta. Persoalan utama dalam menjayakan Bait Muslim ini bukan pada banyak atau sedikitnya harta, tetapi pada bagaimana kita akan mengurus harta itu? Jika kita mengurus berdasarkan prinsip keutamaan; yang utama diutamakan dan yang tidak penting dikebelakangkan atau dilupuskan terus dari senarai, insyaAllah material kita akan terguna secara baik dan memadai, tidak kira ia banyak atau sedikit. Oleh itu, tidak pelik apabila kita melihat orang yang kurang material daripada kita telah dapat berkahwin dan hidup bahagia, sedang kita yang banyak material masih merasa tidak cukup dengan apa yang sudah kita ada. Ia bukan pada banyak dan sedikitnya harta, tapi pada bagaimana menguruskannya.

Sekalipun banyaknya material tidak menjadi syarat untuk memulakan Bait Muslim, tetapi material mestilah mencukupi untuk memulakan Bait Muslim. Tidak kisah sama ada ia banyak atau sedikit, yang penting ia mencukupi. Apa ukuran mencukupi? Ia subjektif. Banyaknya harta cenderung untuk mencapai status ‘cukup’ material. Tetapi berapa banyak orang yang ada banyak harta, tetapi hartanya itu tidak cukup-cukup untuk menampung hidupnya. Masalah ini disebabkan oleh sikap dan cara kita mengurus harta. Sedikit harta cenderung untuk mendapat status ‘tidak cukup’ material, tetapi berapa banyak orang yang sedikit hartanya dapat hidup sejahtera, baik dan bahagia. Pokoknya bukan pada sedikit atau banyaknya harta, tapi pada bagaimana mengurusnya.

Jika ternyata harta ada sedikit dan memang terbukti tidak mencukupi, bagaimana pula? Bukankah Islam menyuruh untuk berusaha? Jika berusaha, yang sedikit jadi banyak dan yang tidak cukup akan jadi cukup, biiznillah, insyaAllah. Yang tidak ada bukan rezeki. Rezeki telah dijanjikan Allah untuk setiap mahkluknya. Tetapi rezeki tidak datang bergolek. Yang tidak ada, yang perlu diadakan dan yang perlu dibuat ialah USAHA. Dengan berusaha, insyaAllah akan dapat rezeki dan akan cukup material. Nak usaha apa? Itu pun masih terbuka luas peluangnya. Yang penting, mahu berusaha dan memang membuat usaha, insyaAllah rezeki akan datang, baik bergolek, melayang, berjalan atau berlari.

Persiapan ‘akal

Persiapan ‘akal meliputi pemilikan pengetahuan. Pengetahuan yang sepatutnya ialah pengetahuan yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan Bait Muslim, bukan pengetahuan dalam aspek tertentu sahaja seperti pengetahuan ibadat sahaja atau pengetahuan membesarkan anak sahaja atau pengetahuan mencari harta sahaja. Ya, memang banyak yang nak kena diketahui. Di sinilah kemahiran pengurusan pengetahuan sangat diperlukan. Ilmu yang diperlukan untuk diguna dalam masa terdekat perlulah dicari dan dipelajari segera. Ia perlu diutamakan untuk dipelajari berbanding ilmu-ilmu lain yang masih belum sampai masa untuk menggunakannya. Ilmu yang tidak diperlukan dalam masa terdekat disimpan dulu sebagai niat baik yang penuh dengan keazaman serta dicatat dalam senarai perancangan ilmu untuk dipelajari nanti. Prinsip keutamaan sekali lagi hadir. Utamakan pelajaran ilmu yang terdekat masanya hendak digunakan, berbanding pelajaran ilmu yang entah bila-bila lagi masa untuk melaksanakannya akan tiba.

Dalam masa terdekat dengan tarikh pernikahan, ilmu dalam banyak bidang rumah tangga diperlukan. Sebagai bakal suami, ilmu tentang peranan dan tanggung jawab suami diperlukan. Sebagai bakal isteri, ilmu tentang peranan dan tanggung jawab isteri diperlukan. Selain ilmu tentang peranan, ilmu tentang hak juga perlu diketahui, seperti hak suami dan hak isteri. Walau bagaimana pun, untuk kebahagiaan rumahtangga, kesungguhan kepada melaksanakan peranan dan tanggung jawab masing-masing jauh lebih penting daripada kesungguhan menuntut hak masing-masing. Ilmu tentang hak adalah untuk mengelak daripada dizalimi sahaja. Ilmu tentang peranan pula adalah untuk memastikan kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah kita dengan adil dan sempurna. Jika kedua-dua pihak melaksanakan peranan / tanggungjawab / amanah masing-masing, serta memberikan dan menjaga hak pasangan masing-masing, insyaAllah kehidupan akan rukun, aman dan bahagia.

Banyak lagi bidang-bidang ilmu yang perlu dipelajari; ilmu mencari nafkah zahir, ilmu membelanjakan nafkah, ilmu nafkah batin, ilmu komunikasi dalam rumah tangga, ilmu tentang peribadi pasangan, ilmu keselamatan, ilmu kesihatan, ilmu kepenggunaan, ilmu ibadat, ilmu akhlaq, dan bermacam jenis ilmu lagi. Mencari ilmu itu jalannya bermacam-macam, tetapi yang paling senang ialah dengan membaca. Membaca yang dimaksudkan bukanlah membaca bahan bacaan sebarangan, tetapi membaca bacaan yang memang tepat untuk dibaca. Bagaimana mengetahui tepat atau tidak untuk dibaca? Buatlah penilaian, bertanyalah kepada orang yang lebih tahu dan berpengalaman, mintalah cadangan (recommendation) daripada yang pakar. Selain membaca, perkongsian pengalaman dan dialog lewat perbualan biasa juga sangat bermanfaat.

Persediaan ruhani

Sebelum sampainya tarikh pernikahan, atau jika tarikh pernikahan telah berlalu, tetaplah terus melatih diri dengan menyemai dan menyuburkan sikap yang baik dan memangkas buang sikap yang buruk dalam diri. Biarlah ceding-ceding sikap baik tumbuh menggantikan tempat sikap buruk yang telah dipangkas. Pada masa bujang, sikap yang baik mungkin senang kita ‘amalkan dan sikap buruk kita pula tidak menjelma keluar kerana tidak pernah diusik sesiapa. Sikap buruk mungkin ada, tetapi ia tersimpan rapi kerana tidak ada ujian atau cubaan yang mengganggunya. Tetapi, apabila sudah berkahwin, banyak ujian dan dugaan hadir dalam hidup sehingga ia mengganggu sikap buruk yang selama ini terpendam diam bertapa dalam gua diri, lalu ia (sikap buruk) akan menjelma keluar  dan kita akan mendapati banyak sikap buruk pada diri kita selepas kita menikah.

Oleh itu, latihlah diri kita dengan sikap baik setiap masa dan bersungguh-sungguh bersikap baik, agar pada saat-saat genting, atau saat keletihan selepas kita telah bernikah, iaitu saat kita benar-benar menjadi diri kita yang sebenar, saat kita benar-benar diuji dengan cubaan berat, sikap-sikap baik itu tidak tertanggal dari diri kita, masih melekat pada kita dan kita masih ber’amal dengannya seperti biasa biarpun kehidupan kita telah berubah, contohnya kita menjadi makin sibuk, atau makin penat, atau makin banyak cabaran hidup mendatang. Maklumlah, kalau semasa bujang, kita hanya mengurus seorang manusia, maka kita tidaklah terlalu sibuk dan tidaklah terlalu penat. Tetapi apabila kita telah bernikah, kita telah megurus dua orang manusia yang berlainan jantina dan berlainan latar belakang kehidupannya, pastilah kita menjadi lebih sibuk dan lebih penat.

Oleh itu, latihlah diri kita membuang sikap-sikap buruk dalam diri kita sementara kita belum bernikah. Kalaupun kita telah bernikah, teruskanlah istiqomah membuang sikap-sikap buruk itu dari diri kita. Sikap buruk kita boleh jadi pelbagai dan banyak, tetapi boleh jadi juga beberapa dan sedikit, tetapi pokoknya kita tidak mahu sikap buruk ada pada diri kita biarpun satu kerana satu sikap buruk sekali pun mempunyai risiko yang besar untuk mengganggu gugat kebahagiaan rumah tangga apatah lagi banyak sikap buruk yang kita miliki. Contoh sikap buruk ialah sangat mudah berprasangka buruk, hasad, tidak mahu mengalah, cemburu buta tuli yang melampau, terlalu sensitif atau manja, pemarah, pendendam dan lain-lain lagi.

Jika pada masa bujang lagi kita telah ada banyak sikap buruk, maka buanglah cepat-cepat kerana sesudah menikah, ia lebih senang berkembang dengan subur berbanding masa bujang sebelum kahwin. Membuang sikap buruk bukan mudah, malah susah dan memakan masa. Tetapi kesusahan itulah mujahadah. Oleh sebab itu, teruslah bermujahadah membuang sikap buruk selepas nikah dan sekalipun telah lama bernikah. Perubahan itu mungkin walaupun susah. Disebabkan ia memakan masa, maka ia perlulah dibuang segera bermula sekarang.

Sekalipun jika masa bujang kita hanya ada beberapa sikap buruk saja, janganlah beranggapan ia sedikit dan boleh dibuang dengan senang apabila mendekati tarikh pernikahan atau setelah menikah. Setelah menikah, ia bukan lagi medan masa yang utama untuk membuang sikap buruk. Ya, tidak dinafikan membuang sikap buruk masih perlu dan masih boleh dibuat selepas pernikahan, tetapi ia bukanlah lagi medan focus utam setelah menikah, walaupun ia tetap penting. Banyak lagi kerja lain yang lebih penting yang perlu dibuat. Membuang sikap buruk menjadi kerja sampingan saja kerana banyak lagi kerja lain yang lebih utama yang perlu diutamakan. Menunggu masa selepas menikah untuk bermula membuang sikap buruk adalah perjudian yang sangat besar risikonya kerana peluang membuang  sikap buruk tidak secerah sebelum menikah lagi sekalipun peluang itu masih ada. Selepas kahwin, peluang itu masih ada tetapi sempit. Sebelum kahwin, peluang itu memang ada dan luas. Pilihlah antara peluang yang ‘masih ada’ atau ‘memang ada’, dan pilihlah antara sempit dan luas.

Jika anda belum menikah, manfaatkanlah masa bujang ini sebaiknya untuk membuat persiapan dan apa yang perlu. Uruslah masa anda dengan bijak. Jangan biarkan sesaat pun masa anda terbazir dengan hal tidak berfaedah, kelak selepas kahwin anda akan menyesal. Selepas mati anda lagi menyesal kerana akan ditanya di sana. Sudahkah anda bersedia? Untuk berkahwin dan untuk menjawab di Padang Mahsyar.

Ayuh, persiapkan diri kita!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: