banyaklah bertanya pada ‘ulamak

“Banyaklah duduk dengan orang-orang besar. Banyaklah bertanya pada ulamak. Bergaullah dengan orang-orang bijak …..” (hadis riwayat at Tabrani, dari Abu Juhaifah)

‘Banyaklah bertanya ulamak’ adalah sebuah pesan yang memperingatkan kita tentang kedudukan kita dan keberadaan kita lebih-lebih lagi tentang sikap kita terhadap ilmu dan para ilmuan. Bilakah kali terakhir kita berjumpa dengan ulamak? Kali terakhir bertanya pada ulamak? Terlebih dahulu, siapakah dan apakah gambaran seorang ulamak pada pandangan kita? Ya, kalau seorang ilmuan yang ‘alim lagi warak itu, memang dia ulamak. Tetapi untuk selalu atau kerap menemui atau bertanya pada ulamak yang ‘alim lagi warak itu kan susah sekali, memandang  pula bilangan ulamak yang ‘alim lagi warak itu bukanlah sebanyak bilangan orang awam atau orang jahil lagi sombong. Sudahlah bilangan pun sedikit, ulamak yang ‘alim lagi warak itu pula duduknya jauh-jauh dari kita, bukan sekitaran rumah kita atau kampong kita.

Ya, ikhwan dan akhawat, ulamak itu pun kan manusia. Jadi ke’aliman dan kewarakan pun berbeza-beza kerana iman seseorang pun berbeza. Tidak pelik kalau ada ulamak yang sangat guru-nya, maha tahu segala tapi ada juga yang bergelar ulamak walau ilmunya tidaklah menggunung sangat. Persoalan menariknya, ilmunya yang tidak menggunung sangat itu apakah lebih sedikit sahaja daripada kita? Tentu sekali tidak bukan. Ilmu mereka pastinya banyak lebihnya daripada kita. Jadi jika demikian, apalagi alasan kita untuk tidak mahu menemuinya, berguru dengannya dan bertanya kepadanya. Sesungguhnya, guru yang terbaik itu ialah yang mengetahui segalanya tetapi adalah sudah cukup baik jika kita sudi berguru dan bertanya pada orang yang lebih tahu daripada kita. Setidak-tidaknya kita belajar daripadanya apa yang ia tahu sedang kita tidak tahu, biarpun apa yang dia tahu itu lebih sedikit saja daripada kita.

Mungkin sedikit yang dia lebih tahu itu sangat berguna berbanding apa yang sudah kita tahu. Mungkin sedikit yang dia lebih tahu itu padanya ada keberkatan. Dan bukankah dalam hidup ini, keberkatan yang kita cari? Yang kita tidak mahu ialah membiarkan diri kita yang sedia jahil ini terus dalam kejahilan malah sombong pula untuk merendah diri sedikit bertanya dan berguru dengan orang yang lebih tahu sedikit daripada kita. Nak berguru dengan ulamak yang sangat ‘arif jauh sekali kerana kita rasa malu akibat beza kita dengan dia terasa seperti langit dengan bumi.

Sebenarnya, beza kita dengan ulamak yang sangat ‘arif memanglah seperti langit dengan bumi, tetapi itu tidak semestinya membuatkan kita rasa segan dan malu untuk bertanya dan berguru dengannya. Perasaan segan dan malu itu hanya tipu daya syaitan saja yang memang sentiasa mahu agar kita selamanya kekal dalam kejahilan agar senang dia menipu dan membodohkan kita yang sedia bodoh ini. Keberadaan dan kewujudan serta ketersediaan ulamak yang sangat ‘arif dekat dengan tempat kita berada adalah satu rezeki, nikmat dan kurnia yang sangat mahal yang Allah berikan kepada kita.

Berapa banyak orang yang sangat dahagakan kedekatan dengan ulamak yang ‘arif tetapi mereka tidak mendapatkan peluang itu, sedang kita yang tidak pernah dahagakan pertemuan dengan ulamak atau segan-segan untuk belajar daripada ulamak ini pula yang dihadirkan dengan nikmat keberadaan ulamak itu di depan mata. Kadang-kadang rumah ulamak itu atau masjid tempat dia berkerja itu hanya di tepi rumah kita atau di seberang jalan depan rumah kita saja, tapi kita mensia-siakannya saja. Tidakkah itu satu kerugian besar dan satu ketidakadilan yang kita buat kepada orang-orang yang ingin mendapatkan ulamak tetapi tidak kedapatan.

Kita saja yang dibelit syaitan kononnya kalau kita bertanya kepada ulamak itu dia tidak akan melayan kita kerana kita ini terlalu jahil. Tidak! Ini hanya penipuan syaitan. Rasulullah, model terbaik itu telah mencontohkan pada kita. Siapakah model yang lebih baik daripada Rasulullah? Siapakah ulamak yang lebih ‘alim, ‘arif dan warak daripada Rasulullah? Rasulullah entah berapa kali, terlalu banyak kali dikunjungi oleh orang-orang yang jahil untuk bertanya tentang Islam. Mereka jahil dan mereka tahu mereka jahil tetapi mereka tidak sombong untuk belajar, lalu mereka bertanyalah kepada ulamak yang paling agung yang ada di dekat mereka, siapa lagi kalau bukan Rasulullah. Para sahabat ini ada yang datang dari jauh, ada yang datang dari dekat semata-mata nak bertanya kepada ulamak teragung, Rasulullah. Para sahabat ini telah mencontohkan kepada kita demikian, agar selalu bertanya kepada ulamak. Bukankah para sahabat adalah sebaik-baik generasi untuk kita contohi?

Selalulah bertanya kepada ulamak. Cuma, perhatikanlah adab-adab dalam berguru dan bermu’amalah, jangan sampai kehadiran kita mendatangkan keburukan dan kesusahan pada para ulamak kita. Memanglah mereka insyaAllah akan redha dengan keburukan yang kita bawa dan kesusahan yang kita cipta, tetapi bukankah lebih baik kita berlaku baik kepada para ulamak, kerana mereka adalah pewaris Nabi, jika kita benar-benar cinta Nabi.

Selalulah bertanya pada ulamak atau orang yang lebih tahu. Ayuh, hidupkan budaya ‘ilmu!

Advertisements

1 Response so far »

  1. 1

    ar-rijal said,

    salam.tahniah akh untuk graduation nye.sayang x dpt brbual pnjg mlm 2.inshaallah kte akn brbual lg..


Comment RSS · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: