Komunikasi Berkesan Dalam Rumah Tangga Islam : Just TOO Important

— tulisan ini adalah upaya penambahbaikan diri sendiri sambil berkongsi dengan pembaca —

Dalam keadaan tertentu, membina sesuatu dari sifir (kosong) adalah jauh lebih payah daripada menambahbaik sesuatu yang sudah ada. Membina rumah di atas tanah kosong atau yang tanah yang belum dikosongkan semak-samunnya adalah jauh lebih payah daripada membaiki dinding rumah yang pecah atau atap yang bocor. Membina kehidupan rumah tangga yang baru jauh lebih payah daripada memperbaikkan kehidupan rumahtangga yang sedia ada, walaupun dalam sesetengah kes membina kehidupan rumah tangga yang baru jauh lebih mudah dari usaha memperbaikkan kehidupan rumah tangga yang telah berusia tahunan atau dekadan dalam masalah. Apapun fasa rumah tangganya, semoga Allah mengurniakan pahala kebaikan atas jihad kita, kesanggupan kita untuk berusaha memperbaguskan rumah tangga Islam kita.

Para aktivis Islam,

Kenapa rumah tangga Islam kita mesti diperbaguskan, diperbaikkan dan dimantapkan? Kenapa kita tidak boleh membiarkan rumah tangga Islam kita berlangsung seperti apa ia berlangsung dihanyutkan oleh kesibukan dan perjalanan masa tanpa kendali kita? Kerana rumah tangga adalah ‘home’ kehidupan, tarbiah dan dakwah kita yang tidak terpisah, bukan sekadar ‘house’ tempat persinggahan atau tempat rehat selepas penat kerja atau tempat bertemu ahli keluarga sekali sekala atau tempat tidur di malam hari saja. ‘Home’ bagi sesebuah laman sesawang adalah tempat paling utama, tempat bermula dan tempat kembali semula, tempat yang menyajikan segala-galanya. Rumah adalah asas kita. Rumah adalah tempat asal kita. Rumah adalah tempat tumbuh besar dan perlindungan kita. Rumah adalah tempat pendidikan (tarbiah) pertama lagi utama. Rumah adalah tempat perhimpunan keluarga. Rumah adalah tempat rehat dan rawat (R&R) iman kita. Rumah adalah tempat ibadat. Rumah adalah tempat membina generasi. Rumah adalah tempat melahirkan jundi (pekerja/kader). Rumah adalah tempat melatih tokoh dan pemimpin. Rumah adalah markaz dakwah. Rumah adalah tempat asas bagi segala-galanya. Rumah adalah rumah la (he he … jangan marah).

Komunikasi sangat (diulang: sangat. Diulang: sangat. Diulang: sangat.) penting dalam memastikan kelangsungan, kelancaran, keaktifan, keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga. Komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan; kedua-duanya penting tanpa perlu diperbahaskan mana yang lebih penting. Yang penting ialah mempraktikkan komunikasi lisan dan bukan lisan dengan tepat pada orangnya, masanya, tempatnya, suasananya dan apa-apa yang berkaitan yang kita sendiri boleh nilai berdasarkan kebijaksanaan kita.

Senyum adalah muqoddimah komunikasi yang sangat mujarab. Senyum bukan ubat, tapi mujarab. Tapi senyum yang mujarab itu ada syarat. Syaratnya ialah keikhlasan dari hati sanubari. Semakin tinggi keikhlasan, semakin manis dan mujarab senyuman kita. Kalau sudah tulus ikhlas, kita tidak tersenyum pun dinampak orang ceria berseri seperti tersenyum, apalagi jika kita mula mengukirkan senyum di saat bertemu. (Ada pengalaman?) Tapi sekali kita kurang ikhlas atau (na’uzubillah) tidak ikhlas, senyum kita hilang seri, hilang ruh dan tidak berkesan positif pada hati. Ketiadaann kesan positif pada hati (penerima senyum) adalah tanda kegagalan tujuan senyum kita, sedang senyum bertujuan mengeratkan hubungan ukhuwwah, silaturrahim dan cinta. Praktiknya, marilah kita senyum dengan ikhlas kepada anggota rumah tangga kita lebih-lebih lagi belahan jiwa kita. Kutersenyum, kau tersenyum, kemesraan menguntum …. nyanyi seorang munsyid.

Elemen komunikasi yang kedua dalam senarai penulisan ini: diam. Umumnya, diam daripada hal-hal tidak bagus adalah perisai dari dosa-dosa lidah. Tapi diam ada tempatnya. Jika kita tidak berlaku adil pada diam, kita bukan mengelak dosa, malah mengundangnya. Jika kita tidak diam pada masa yang sepatutnya, kita bukan mengelak dosa, malah mengundangnya. Umpamanya, dalam satu tempoh masa kita bersama dengan pasangan kita, kita mungkin tidak senyum langsung padanya, malah kita mungkin terus diam membisu seribu bahasa serta menarik muka masam mencuka. Kita tidak bertegur sapa dengannya, kita tidak bersuara walau sepatah dengannya malah pertanyaannya pun kita diamkan saja, sengaja tidak dijawab sepatutnya. Kalau pasangan kita orang yang bijak, dia akan berlaku positif, dia tidak akan berlaku negatif, dia akan membiarkan saja kita sampai kita puas dengan ‘perangai’ kita itu atau membiarkan masa merawat kita. Ini adalah kebaikan yang si dia bina atas keburukan yang kita cipta. Tetapi kalau pasangan kita tidak seteguh itu, tidak sehebat itu, tidak sebaik itu, dia pun akan ber‘perangai’ seperti kita. Kalau kedua-duanya mengeraskan kepala dengan ‘perangai’ masing-masing, mendiamkan diri seribu bahasa dengan muka masam mencuka, sampai bila pun masalah tidak akan selesai, kerana tidak ada bicara, tidak ada pertukaran kata dan rasa, tidak ada musyawarah, tidak ada diskusi, tidak ada saling memahami dan toleransi. Yang ada hanya diam saja.

Padahal dalam kes ini kita adalah punca segala masalah kerana mendiamkan diri tidak kena pada tempatnya. Ya, mungkin kita mendiamkan diri dan menarik muka masam kerana tidak bersetuju atau marah dengan pasangan kita, tetapi mendiamkan diri seribu bahasa dan menarik muka masam mencuka bukanlah cara komunikasi yang berkesan yang dapat memperbaikkan atau menukar fikiran pasangan kita, tidak juga dapat mengeratkan hubungan dan tidak juga dapat menyelesaikan masalah, malah makin merenggangkan hubungan dan membesarkan masalah. Penyelesaiannya ialah berkomunikasi dengan baik, menyuarakan pandangan dan perasaan kita dengan beradab, dan berbincang dengan baik, sekalipun kita tidak bersetuju dengannya atau sedang marahkannya. Kita tidak boleh melepaskan diri kita untuk dikuasai oleh hawa nafsu atau emosi, tetapi kita yang perlu mengendalikan hawa nafsu atau emosi kita kerana kita adalah Tuan mereka, kita bukan hamba mereka . bersambung ….

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: