Orientasi Tujuan atau Orientasi Acara

Apabila kita makan, apakah kita makan kerana mahu menghilangkan lapar atau kita makan kerana sekadar waktu makan telah tiba? Apabila kita mandi, apakah kita mandi kerana mahu menghilangkan peluh dan kepanasan atau kita mandi kerana sekadar waktu mandi telah tiba? Apabila kita tidur, apakah kita tidur kerana mahu menghilangkan mengantuk atau kita tidur kerana sekadar waktu tidur telah tiba?

Apabila kita makan, apakah kita makan kerana mahu menghilangkan lapar atau kita makan kerana orang lain semua makan? Apabila kita mandi, apakah kita mandi kerana mahu menghilangkan peluh dan kepanasan atau kita mandi kerana orang lain semua mandi? Apabila kita tidur, apakah kita tidur kerana mahu menghilangkan mengantuk atau kita tidur kerana orang lain semua tidur? Jika kita berbuat sesuatu atau semua perkara ini kerana orang lain berbuat perkara itu, maka kita adalah orang yang tidak jelas tujuan dan tidak mempunyai prinsip sendiri tetapi hanya mengikut arus saja tanpa tahu hala tuju dengan jelas.

Saudara dan saudari, terutama kita para aktivis Islam,

Perlakuan seperti yang digambarkan di atas ialah perlakuan berorientasikan acara, bukan berorientasikan tujuan. Perlakuan berorientasikan acara akan dibuat apabila masa kebiasaan acara itu dibuat tiba atau apabila ada orang lain yang membuatnya, lantas kita membuatnya untuk mengikut arus semasa sahaja (kononnya tidak mahu ketinggalan), tanpa kita mengetahui dengan sebenar-benarnya tujuan kita berbuat perkara itu, tanpa kita mengetahui ke manakah arah kita menghala, tanpa kita mengetahui ke manakah destinasi yang kita hendak sampai dan tanpa kita mengetahui tujuan apakah kita hendak capai. Akhirnya kita tidak sungguh-sungguh menitikberatkan sama ada tujuan kita berbuat sesuatu tercapai atau tidak. Akibatnya, kita tidak mencapai apa-apa matlamat yang berfaedah atau mencapai sedikit matlamat sahaja atau mencapai matlamat dengan sangat minimum (iaitu tidak berkesan), sedangkan kita telah menghabiskan kos yang banyak; kos kewangan, kos tenaga, kos masa, kos sumber manusia dan lain-lain. Bukankah berbuat sesuatu dengan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan adalah membazir? Dan di sini kita tidak perlu membahaskan hukum fikah membazir.  Bukankah berbuat sesuatu dengan mendatangkan hasil yang tidak berkesan adalah membazir? Bukankah berbuat sesuatu dengan mendatangkan hasil yang sangat minimum adalah sia-sia? Bukankah sia-sia adalah cirri membazir? Dan siapakah antara kita yang suka kesia-siaan atau suka masa, tenaga, harta kita disia-siakan?

Jelas walaupun tidak bersuluh bahawa orientasi acara bukanlah orientasi yang sesuai untuk kita, bukanlah cara pilihan kita, bahkan musuh kita kerana ia hanya akan menghidangkan kepada kita kesia-siaan, pembaziran, ketidakberkesanan dan pelbagai hasil negatif yang boleh kita sama-sama fikir-fikirkan dalam-dalam. Apalagi untuk kita para aktivis Islam, sangatlah tidak bijak kita untuk memilih antara dua, orientasi yang hanya membawakan kepada kita hasil yang sangat minimum, malah lebih teruk tiada kesan positif yang signifikan malah pada masa-masa tertentu tidak memberikan apa-apa kecuali kesia-siaan.

Orientasi tujuan pula dengan jelas menetapkan tujuan yang ingin dicapai (Visi). Dari tujuan inilah, satu usaha akan dirangka (misi). Disebabkan kejelasan tujuan yang ingin dicapai, misi dirangka dengan sebaik-baiknya, memilih metod yang terbaik untuk mencapai matlamat dengan keberkesanan yang paling tinggi impaknya. Disebabkan kejelasan tujuan juga, misi akan dilaksanakan dengan penuh kesungguh-sunnguhan untuk mencapai hasil yang paling maksimal atau paling berkesan, bukan sekadar berbuat ala kadar atau sekadar mengambil nama berbuat atau sekadar berbuat sama seperti orang kebanyakan berbuat. Tujuan yang jelas, diikuti perancangan misi yang teliti dan pelaksanaan misi dengan bersungguh-sungguh insyaAllah akan menghasilkan kesan yang maksimal.

Para aktivis Islam,

Kita kadang (bukan juga kadang malah agak selalu atau memang selalu) banyak membuat program-program yang Islami. Menjelang masa-masanya, kita berprogram. Tiba Maulidur Rasul kita berprogram, tiba Hijrah kita berprogram, tiba keputeraan Sultan kita berprogram, tiba Ramadhan kita berprogram, tiba dua Hari Raya kita berprogram, tiba-tiba ada apa-apa pun (ie kenaikan harga minyak, serangan Gaza, isu politik, pilihanraya) kita berprogram, tidak tiba apa-apa sempena pun kita berprogram. Program kita boleh jadi macam-macam; perhimpunan, seminar, konvension, demonstrasi, jamuan, qiamullail, ceramah, riadhah, permainan sukan, rekreasi luar rumah, lawatan, perkhelahan, perkhemahan, majlis ilmu, majlis tazkirah, mesyuarat organisasi dan lain-lain lagi. Kenapa kita buat semua aktiviti ini? Apakah kita menganjurkannya kerana ia adalah aktiviti tahunan yang mesti kita buat setiap tiba masanya? Apakah kita menganjurkannya kerana organisasi lain menganjurkannya, maka kita juga mesti mengadakannya, kalau tidak kita ketinggalan, perlahan, mundur dan sebagainya? Apakah kita menganjurkannya untuk memenuhkan ruang masa kosong kita supaya kita nampak aktif? Apakah kita menganjurkannya supaya kita menjadi terkenal? Kerana apakah kita menganjurkannya?

Jika kita menganjurkannya kerana salah satu atau semua sebab yang di atas, maka awas! Kita lebih baik berhenti sejenak dan bermuhasabah, takut-takut kita telah merentasi jalan yang salah, jalan yang tidak menguntungkan, jalan yang tidak dipilih oleh orang-orang bijak. Jika kita menganjurkannya bukan kerana masa tahunannya tiba, jika kita menganjurkannya bukan kerana orang lain atau organisasi lain menganjurkannya, jika kita menganjurkannya bukan kerana mahu dilihat sebagai organisasi yang aktif, jika kita menganjurkannya bukan kerana mahu nama dipuji-puji orang, tetapi kerana kita mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tujuan (visi) yang ingin dicapai dan kita sungguh-sungguh mahu mencapai visi itu, insyaAllah kita berada di jalan yang selamat dan benar. Tidak ada apa lagi yang perlu diragukan, kita laksanakanlah misi itu setekun-tekunnya sampai berjaya, cepat atau lambat bukan persoalannya kerana itu urusan Allah untuk menganugerahkan kejayaan yang telah dijanjikannya, persoalan kita hanyalah ‘apakah kita telah meletakkan tujuan yang benar’ dan ‘apakah kita telah berusaha segigih-gigihnya dengan cara yang efisien dan efektif’. Kejayaan itu mungkin bukan dalam hayat kita, tapi dalam hayat generasi warisan kita, tidak kira generasi ke berapa, asalkan kita telah meletakkan tujuan (visi) yang betul, dan cara kerja (misi) yang benar, efisien dan efektif.

Kesimpulannya, orientasi acara bukan jalan kita. Orientasi tujuan adalah prinsip kerja strategik kita. InsyaAllah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: