Jihad dalam cinta aktivis dakwah

Sudah terlalu biasa kita merentasi kisah para sahabat Ansor menawarkan untuk menceraikan isteri dari kalangan isteri mereka mana-mana yang disukai oleh sahabat Muhajirin untuk dinikahkan dengan sahabat Muhajirin sesampainya mereka di bumi Madinah dalam peristiwa Hijrah Rasulullah dan para sahabat yang sangat signifikan untuk kita perhatikan, kaji dengan teliti, mengambil contoh daripadanya dan melaksanakan semangatnya, sekalipun dalam bentuk yang berbeza dalam kehidupan moden ini.

Hari ini banyak aktivis dakwah muda remaja yang masih bujangan semakin sedar akan peri penting melangsungkan cinta lewat pernikahan. Banyak buku-buku cinta di jalan dakwah, menikah di jalan ini, manisnya pacaran selepas pernikahan dan berbagai lagi yang menyuntik rasa sedar dalam diri para aktivis muda akan peri pentingnya menyegerakan pernikahan, menyempurnakan separuh lagi agama, melipat gandakan pahala beramal dan sebagainya. Dan kita para aktivis dakwah yang bujangan menemui para murobbi masing-masing untuk menyampaikan rasa hati dan meneruskan misi pencarian. Misi ini misi mungkin. Possible mission insyaAllah.

Dan apa yang berlaku itu beragam. Ada yang memberitahukan murobbinya syarat calon pilihan. Malah syarat-syarat calon pilihan. Bilangan syarat-syaratnya sehingga dua, tiga, empat. Dan ada yang lebih lagi. Ya, murobbi akan tersenyum saja menerimanya dahulu apa pun syaratnya dan berapa pun syarat itu, kerana ia belum diusahakan, biar pada benaknya, semakin panjang senarai syarat pencarian, semakin susah dan rumitlah pencarian calon pilihan dan semakin sukarlah usaha sang murobbi. Hingga sempat ada murobbi yang bergurau dengan mutarobbinya “jika ada saya jumpa calon pilihan seperti syarat-syarat banyak yang awak sebutkan ini, terima kasih kerana saya akan mengahwininya dulu sebelum anda”. Pembaca faham?  Jika begitu, fikir-fikirkanlah berapakah syarat yang kita mahu letakkan itu? Dan syarat apakah itu? Tetapi yang terlebih dahulu, apakah kita perlukan syarat? Tidak cukupkah dia seorang muslim sejati / muslimah sejati dan seorang peserta tarbiah yang aktif di medan dakwah?

Apakah kecantikan menjadi syarat? Apakah ketampanan menjadi syarat? Apakah bentuk badan, ketinggian dan berat menjadi syarat? Apakah warna kulit menjadi syarat? Apakah kekayaan menjadi syarat? Apakah pekerjaan dan taraf pendidikan menjadi syarat? Apakah status keluarga dalam masyarakat menjadi syarat? Apakah hidung mancung menjadi syarat? Apakah satu kampung / daerah / negeri menjadi syarat? Apakah tidak makan pedas menjadi syarat? Ya, semua syarat-syarat itu tidak pernah dihalangi oleh syarak. Tetapi berpijaklah di bumi nyata wahai saudara saudari. Kita bukan mengahwini bidadari. Bukan juga mengahwini Nabi Yusuf. Mengimpikan itu semua tidak salah, tetapi berpada-padalah. Janganlah pula senarai syarat kita sampai panjang berjela, sampai terlelah-lelah murobbi / murobbiah kita membacanya, belum lagi berusaha mendapatkannya. Sedarlah saudara-saudari, bahawa kebahagiaan dan kerukunan hidup rumah tangga kita bukanlah disumbangkan oleh factor-faktor di atas belaka, tetapi kebahagiaan itu dari Allah. Lalu apakah kita tidak mahu berkorban untuk Dein-Nya dan memohon kebahagiaan daripada-Nya?

Ada pemuda mengimpikan pemudi atau pemudi mengimpikan pemuda. Mungkin kedua-duanya adalah kawan di zaman jahili, sebelum kedua-duanya terperangkap ke kancah tarbiah dan dakwah yang mulia ini. Bertindaklah dengan syar’ie. Rujuklah dahulu pada murobbi / murobbiah. Janganlah pandai-pandai mengatur sendiri, senyap-senyap, berdua-dua, kerana antara dua lainan jantina adalah yang ketiga syaitan terlaknati. Telah kenal lama bukanlah penghalal, bukan juga penjamin kebahagiaan masa depan.

Ada pemuda mengimpikan pemudi atau pemudi mengimpikan pemuda. Tapi khabarnya impian telah ditempah orang. Lebih menyayatkan, orang itu adalah kawan baik si pengimpi. Ya, aktivis dakwah juga manusia biasa yang punya rasa, cinta dan air mata. Rasa seperti luruh luluh segalanya. Rasa seperti emas sudah tidak berharga. Rasa sangat kecewa. Impian tidak akan menjadi nyata. Jika kita adalah sang pengimpi yang kecewa, dan kita adalah sang aktivis dakwah yang selalu melaungkan slogan ‘jalan ini penuh duri’, ‘jalan ini tidak dihampar permaidani merah’, ‘jalan ini jalan jihad’, ‘berkorban apa saja’, inilah masanya untuk kita merealisasikan slogan itu. Untuk kita menerima hakikat bahawa inilah takdir Ilahi, inilah ujian Ilahi untuk menentukan siapakah yang benar imannya, inilah tarbiah rabbi, inilah masa membuktikan ukhuwwah fi sabilillah, inilah masa berbuat itsar, inilah masa merasai bahawa yang pahit itu tidak semestinya buruk untuk kita, inilah masa merasai bahawa apa yang Allah rezkikan adalah yang terbaik, sekalipun rezki yang kita dapati itu secara fitrahnya meluluh-luluhkan hati kita dan mengalirkan air mata bercucuran tidak tahan lagi menaggung kesedihan. Inilah masa mencontohi sahabat Ansor yang sanggp menawarkan untuk menceraikan salah satu belahan jiwa mereka yang disukai Muhajirin untuk dikahwinkan dengan mereka. Setakat mana sangatlah kita disbanding dengan sahabat Ansor dalam jihad cinta?

Kumbang tarbiah dan bunga dakwah tidak seekor atau sekuntum wahai saudara-saudariku. Usahlah bersedih. Usaplah air mata di pipimu. Temuilah sang murobbimu / murobbiahmu lagi kerana dialah tempat kita mengadu dan berkonsultasi, baik dalam suka mahupun duka, sama-sama harungi ‘jalan penuh duri’ ini. Dia akan membantumu insyaAllah kerana dia mengenalimu (ta’aruf), dia memahamimu (tafahum) dan dia bakal menolongmu (takaful) insyaAllah. Ingatlah selalu, malam tidak akan selamamnya malam. Siang akan menjelma juga. Matahari akan terbit akhirnya. Hujan pun tidak akan berterusan hujan. Sampai masa ia akan reda. Dan banjir air mata sedih ini akan surut juga akhirnya. Bersama kesusahan ada kesenangan. Percayalah dan sabarlah! Sesungguhnya Allah bersama-sama Rasulullah, Abu Bakar (Gua Tsur) dan orang-orang yang sabar.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: