Kufu dalam tarbiah dan dakwah

Sekali lagi, bagi orang-orang biasa, sekufu biasanya adalah kesamaan taraf dari segi keturunan, kedudukan dalam masyarakat, pemilikan harta, kecantikan wajah dan ketampanan jasad, taraf pekerjaan dan pendidikan dan hal-hal sedemikian. Tetapi, sekali lagi juga, bagi orang-orang ‘luar biasa’ (baca: aktivis Islam), sekufu dalam pernikahan bukan setakat itu saja. Faktor sekufu yang demikian adalah factor sekufu yang sekunder. Bagi kita para aktivis Islam, ada factor sekufu yang primer dan lebih utama ialah sekufu dalam tarbiah dan dakwah.

Apabila kita para aktivis dakwah hendak memilih pasangan hidup kita yang akan menjadi belahan jiwa sepanjang hayat hingga berjumpa lagi di syurga insyaAllah, hendaklah kita memilih saudara atau saudari kita yang ikut bersama-sama kita dalam menjalani proses tarbiah. Kufu itu hadir dalam kesamaan mengikuti proses tarbiah. Aktivis yang ditarbiah pasti lain dari orang-orang biasa yang tidak menjalani proses tarbiah. Tarbiah membentuk fikrah (kefahaman) Islam yang sepatutnya. Apabila fikrah Islam yang adil terbentuk dalam jiwa kedua-dua bakal mempelai, maka berlangsunglah kufu dalam kefahaman Islam dan mudah lagi bahagialah melayarkan bahtera rumah tangga kerana kedua-dua mempelai memahami Islam dengan kefahaman yang sama dan sekufu. Andai salah seorang saja yang tertarbiah, manakala seorang lagi hanyalah orang-orang biasa yang tidak tertarbiah, hilanglah kufu dalam pemahaman Islam. Maka, terbukalah ruang-ruang bahaya dan risiko terutama apabila wujud perbezaan apalagi pertentangan idea, kesukaan, pilihan, citarasa dan prinsip antara kedua-dua mempelai, sedang kedua-duanya menilai sesuatu berdasarkan neraca yang berlainan menggunakan kefahaman Islam yang berlainan.

Bersama-sama ditarbiah dan kufu dalam  fikrah Islam adalah sangat penting dalam pernikahan aktivis dakwah kerana kita bukan hidup untuk hidup biasa-biasa, tapi kita hidup untuk Allah dan Rasulnya, kita hidup untuk bekerja membawa dan menebarkan risalah-Nya, kita hidup untuk memperjuangkan Dein-Nya, bahkan kita hidup untuk syahid di jalan-Nya. Kita bukan hidup untuk sekadar menjalani rutin harian bekerja, makan, tidur, bersosial dan bergembira saja. Kita hidup untuk satu visi dan misi yang besar. Kita hidup dengan memegang amanah dan memikul tanggungjawab yang berat. Visi dan misi yang besar serta amanah dan tanggung jawab yang berat ini memerlukan kita mempunyai gandingan hidup, belahan jiwa, pasangan cinta dan penyokong setia dalam hidup yang sangat selari dan faham dengan kita. Keselarian dan kefahaman itu hanya akan datang daripada kufu dalam kefahaman Islam dan kefahaman bergerak dalam dakwah. Ini bermakna keselarian dan kefahaman itu datang dari produk system tarbiah. Ia tidak akan sesekali datang dari orang yang tidak tertarbiah sekalipun dia adalah orang yang paling kita kenal, atau dia adalah orang yang paling kita biasa bersamanya, atau dia adalah orang yang sangat kita cinta pada kecantikan atau ketampanannya, atau dia adalah orang yang sangat menawan gaya percakapan dan aksi buatnya. Kualiti-kualiti duniawi itu tidak akan menjamin keserasian dan kefahaman dalam melayarkan kehidupan dakwah yang sangat besar misinya ini.

Ikut sajalah ‘aturan’ ini iaitu ‘aturan’ bahawa sebagai aktivis Islam, memilih pasangan hidup yang sekufu dalam tarbiah dan dakwah adalah bukan setakat utama, malah genting kerana ia menentukan kelangsungan dan kebahagiaan hidup bukan untuk sehari dua, atau sebulan dua, atau setahun dua, atau sepuluh tahun atau dua puluh tahun, tapi untuk selama-lamanya insyaAllah sekalipun sudah kembali pada-Nya hingga bertemu lagi di syurga. Tidak ada jalan lain kerana kita sendiri sudah tahu bahawa dengan memilih ketidakkufuan dalam kefahaman Islam dan gerakan dakwah, kita sebenarnya mempertaruhkan hidup kita kepada risiko keruntuhan rumah tangga sama ada cepat atau lambat, atau setidak-tidaknya kehambaran rumah tangga atau kepedihan hidup dalam duka kerana keterpaksaan bersama sekalipun rasa cinta hati telah tiada, semuanya gara-gara memilih pasangan yang tidak kufu dalam kefahaman Islam dan gerakan dakwah.

Jangan pernah kita menjadi orang yang ‘tidak arif’. Jangan pernah kita menjadi orang yang tertipu. Jangan pernah kita tertipu oleh syaitan yang memang kerjanya menipu. Jangan pernah kita kalah dan lemas kepada pujuk rayu nafsu sekalipun ia indah. Jangan pernah mempertaruhkan masa depan hidup kita. Jangan pernah tertipu oleh bisikan-bisikan alasan “berbeza sikit tidak apa. Nanti boleh disamakan”. Ini bukan persoalan boleh atau tidak, berjaya atau tidak menyamakan perbezaan atau menutup jurang perbezaan. Persoalan boleh atau tidak, berjaya atau tidak menyamakan perbezaan atau menutup jurang perbezaan adalah persoalan kedua. Persoalan utama dan lebih penting, bahkan genting, adalah persoalan ‘kenapa membuka diri pada risiko dan bahaya?’ dengan memilih pasangan yang tidak sekufu dalam fikrah islam dan harakah dakwah, sedangkan kita mempunyai pilihan dan peluang yang terbuka luas untuk memilih pasangan hidup yang sekufu dalam fikrah islam dan harakah dakwah, yang sama-sama mengikuti tarbiah dan sama-sama gembira berjuang di medan untuk mendakwahkan kalimah dan risalah Allah. Kenapa kita memilih jalan bahaya jika kita sudah tahu jalan itu bahaya? Bukankah Islam melarang kita mendedahkan diri kepada bahaya.

“Berbeza sikit tidak apa. Nanti boleh disamakan” hanyalah kata-kata yang manis di bibir saja tapi sangat pahit apabila hendak ditelan dalam kehidupan rumah tangga yang sebenar. Perbezaan sedikit yang senang diubah dan disamakan ialah perbezaan luaran tetapi bukan perbezaan dalaman dan prinsip.  Kulit luar buah naga yang merah senang dijadikan putih dengan disembur pewarna putih tetapi isi dalamnya tetap merah. Hal-hal dalam tidak dengan mudah diubah, bahkan dalam keadaan tertentu memang tidak boleh diubah. Bahkan, dalam keadaan tertentu, hal-hal luaran pun tidak boleh diubah. Biji gajus yang berada di luar buah akan selamanya bengkok walau anda cuba meluruskannya. Mengubah bukan manusia sudah payah, inikan mengubah manusia yang akalnya panjang, helahnya pelbagai dan perangainya yang sebenar kadang-kadang menjijikkan. Bahkan semakin naik usia manusia, semakin resistive kepada perubahan, sedangkan kita kononnya akan berusaha mengubahnya sedikit demi sedikit merentasi usianya. Entah-entah semakin kita menutup jurang perbezaan merentas usianya, semakin besar dia membuka jurang perbezaan antara kita dan dia.  Jadi, tidak payahlah kita merugikan pelaburan kita dengan mengambil risiko “berbeza sikit tidak apa. Nanti boleh disamakan” kerana kerugian yang bakal ditanggung bukanlah kerugian wang yang boleh dicari ganti tetapi kerugian nikmat hidup dan usia yang tak akan kunjung pulang lagi.

“Berbeza sikit tidak apa. Nanti boleh saya ubah dia” juga hanyalah kata-kata manis yang tidak menjanjikan apa-apa kecuali bahaya yang sangat besar. Cukuplah contoh-contoh lalu untuk menunjukkan kepada kita bahawa apa yang terjadi adalah sebaliknya. ‘Saya ubah dia’ hanyalah tinggal kenangan bukan manis tapi pahit saja. Yang terjadi ialah ‘dia ubah saya’. Saya yang dulunya aktivis Islam yang aktif dalam tarbiah dan dakwah, makin hari makin perlahan dalam kerja tarbiah dakwah, dengan alasan menyeimbangkan antara tarbiah dakwah dan rumah tangga. Makin hari makin perlahan dan makin jarang kelihatan di medan tarbiah dakwah dengan alasan diuji dengan macam-macam cubaan. Makin lama lagi hilang tidak ketemuan. Jumpa-jumpa lagi kelihatan asyik bergembira dalam keseronokan. Kita doakan saja kebaikan dari Allah untuk orang-orang seperti ini yang dulunya berbangga dengan “berbeza sikit tidak apa. Nanti boleh saya ubah dia”. Sekarang siapa mengubah siapa dan siapa telah berubah? Kita mohon doa pada Allah agar kita tidak menjadi demikian.

Kes ‘berbeza sikit’ pun sudah kita tidak mahu kerana ia mengundang risiko bahaya, apalagi kalau ‘berbeza besar’ umpamanya kita memilih pasangan hidup kita orang yang tidak mengikuti tarbiah, atau orang yang enggan ditarbiah atau orang yang malah anti-tarbiah. Kita bermohon pada Allah dari menjodohkan kita dengan orang-orang yang tidak sekufu dengan kita dalam tarbiah dan dakwah.

Mudahnya, pilihlah dari kalangan saudara-saudari kita yang sama-sama mengikuti tarbiah dan berjuang di medan dakwah yang sama dengan kita untuk menjadi pasangan hidup mati kita, belahan jiwa rasa cinta kita dan penyokong rumah tangga dakwah kita. Utamakanlah factor ini sebagai factor yang pertama, utama dan penting, bukan factor kecantiktampanan fizikal, kekayaan harta, kemuliaan keturunan, ketinggian pendidikan, kehebatan pekerjaan dan sebagainya. Ingatlah saudara-saudariku bahawa yang menentukan kebahagian itu ialah Allah swt, bukan kecantiktampanan fizikal, kekayaan harta, kemuliaan keturunan, ketinggian pendidikan, kehebatan pekerjaan dan sebagainya. Apakah Allah tidak mahu mengurniakan kebahagiaan kepada orang yang sanggup berkorban kepentingan nafsu dan dirinya untuk kepentingan Dein Allah? Apakah Allah tidak mahu mengurniakan kebahagiaan kepada orang yang sanggup berkorban kecintaannya kepada kecantikan fizikal, kekayaan, kemuliaan kedudukan dan lain-lain semata-mata untuk kepentingan Dein Allah?

Sesungguhnya Allah itu Pencipta manusia, pencipta kita dan pencipta kebahagiaan. Sangatlah mudah untuk  Allah mengurniakan kebahagiaan bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Apakah kita tidak mahu memancing kebahagiaan dari Allah dengan memilih pasangan yang siap untuk berjuang di jalan-Nya?

Moga Allah mengurniakan kita pasangan yang kufu dalam tarbiah dan dakwah serta mengurniakan kita kebahagiaan hingga anak cucu, hingga bertemu lagi di syurga insyaAllah. Amin ya rabb al ‘aalamin.

Advertisements

1 Response so far »

  1. 1

    nuizzamz said,

    Assalamualaikum wbt.

    Mabruk kerana amal selari dgn kata2.

    Cuma sedikit tambahan, sedarlah perjuangan ini menuntut seribu satu ketabahan, kesabaran dan pengorbanan. Seorang daie bukan mengharapkan balasan dan kesenangan di dunia, tapi, mengimpikan kebahagiaan di akhirat dikelilingi oleh bidadari2 syurga.

    Kita menyambung rantai2 perjuangan Rasulullah saw dan baginda merupakan qudwah yang dekat dgn kita dalam soal bait muslim. tengok sahaja kisah Aisyah RA dan ummul mukminin yang lain. Sanggup bersusah payah mendokong dakwah yang di bawa baginda rasul.

    Untuk ikhwah dan akhawat yang sedang mencari2 calon tu, sabar, Insya Allah, ada calon ikhwah/akhawat yang sekufu dengan kalian. Banyakkan doa dan yang belum isi borang tu, sila2lah berbuat demikian. (‘_’).

    Wslm.


Comment RSS · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: