Beri Isteri Rehat

Kamarudin Ibnu Mikam memperkongsikan lagi tips kebahagiaan rumah tangga melalui bukunya ‘Setiap Hari Adalah Honeymoon’ . Tips yang dimaksudkan ialah suami memberi rehat kepada isteri dan melakukan perkara yang diminta oleh pasangan segera atau sekarang.

Kebiasaannya, isterilah yang paling awal bangun dan paling lambat masuk tidur. Isteri bangun paling awal untuk menyiapkan makanan dan pakaian buat suami dan anak-anak. Isteri yang membangunkan suami dan anak-anak. Bahkan, kebiasaannya isterilah yang memandikan, memakaikan dan memberi makan kepada anak-anak kecil. Sesetengah isteri juga menghantar anak ke sekolah. Bahkan isteri yang melakukan semua kerja ini juga keluar bekerja di pejabat atau tempat kerja lainnya. Andai isteri tersebut suri rumah, sudah pasti dialah yang melakukan segala kerja rumah termasuk mengemas rumah, membasuh pakaian, membeli bahan mentah masakan, dan lain-lain.

Hakikatnya, sama seperti suami yang penat bekerja di luar, isteri sebagai suri rumah juga sama penat seperti suami. Bahkan isteri yang bekerja pun penat seperti suami yang bekerja, malah mungkin lebih lagi kerana isteri melakukan lebih kerja iaitu kerja-kerja di rumah sejak awal pagi sebelum pergi kerja dan selepas balik kerja sampai lewat malam seperti memasak, membasuh dan lain-lain. Oleh yang demikian, sangat wajarlah para suami sekali sekala memberi rehat kepada isteri daripada kerja-kerja rumahnya. Cara memberi rehat tersebut ialah dengan membantu isteri melakukan kerja rumah seperti membasuh pakaian, atau memasak atau kerja-kerja lain. Suami juga boleh menawarkan diri untuk menggantikan isteri melakukan kerja mencuci pakaian atau memasak atau mengemaskan rumah. Pada masa tersebut, isteri bolehlah berehat. Jika suami pun kepenatan untuk membantu isteri atau menggantikan isteri melakukan kerja-kerja rumah, bolehlah melakukan alternatif seperti makan di luar. Kalau dalam seminggu, satu atau dua hari suami membantu atau menggantikan isteri melakukan kerja-kerja rumah pun sudah memadai untuk membahagiakan hati isteri. Isteri bukanlah mengharap sangat bantuan suami kerana mereka mampu melakukan sendiri semua kerja rumah, tetapi keprihatinan suami terhadap isteri itu yang sangat bernilai dan dihargai oleh isteri.

Satu lagi tip kebahagiaan ialah melakukan segera perkara yang diminta oleh pasangan. Contohnya, isteri meminta suami membaiki lampu yang rosak atau suami meminta isteri membuatkan secawan kopi. Biasanya orang yang meminta berharap agar permintaannya ditunaikan segera. Sementara orang yang diminta pula kemungkinan ada kerja lain atau kurang berminat melakukan apa yang diminta. DI sinilah pengorbanan diperlukan. Inilah bukti cinta. Pasangan yang meminta pasti gembira apabila permintaannya ditunaikan segera dan sebaliknya sedih dan kecewa jika permintaannya ditangguh-tangguhkan atau lambat untuk dilaksanakan.

Ayuh para suami member rehat kepada isteri sekali sekala dan ayuh menunaikan permintaan pasangan dengan segera.

Tinggalkan komen »

Terima keburukan, beri kebaikan?

Pernahkah kita merasakan bahawa hanya kita yang banyak memberi kepada seseorang sedangkan dia tidak banyak memberi kepada kita atau  kita banyak memberi kepadanya tetapi dia kurang membalasnya atau tidak pernah membalasnya atau kita banyak berbuat baik kepadanya tetapi dia kurang berbuat baik kepada kita atau tidak pernah berbuat baik kepada kita malah berbuat buruk atau jahat kepada kita. Ringkasnya kebaikan kita jarang terbalas kebaikan, atau tidak dibalas kebaikan malah dibalas keburukan. Hal sebegini berlaku dalam perhubungan suami-isteri kita, jiran tetangga, kaum kerabat keluarga, kenalan dan rakan serta masyarakat. Pernahkah kita terfikir setelah kita diperlakukan begitu “patutkah aku meneruskan kebaikan kepadanya?” atau “patutkah aku terus berbuat baik kepadanya walaupun dia tidak berbuat baik kepadaku?” atau lebih dahsyat “patutkah aku terus berbuat baik kepadanya walaupun dia berbuat buruk/jahat kepadaku?” atau lebih parah “patutkah aku  berbuat buruk/jahat kepadanya kerana dia juga/telah berbuat buruk/jahat kepadaku?”. Awaslah, sebahagian daripada lintasan-lintasan itu adalah bisikan syaitan sama ada ia syaitan dari kalangan jin atau manusia.

“Mereka bukan guru kita.” Kata Umar Mukhtar kepada anak-anak muridnya dalam filem bertajuk Lion of The Desert yang mengisahkan perjuangan Syuhada itu. Jangan biarkan diri kita dikuasai dengan hina oleh orang lain atau persekitaran. Jangan biarkan diri kita dipengaruhi dengan salah oleh orang lain atau persekitaran. Jangan biarkan diri kita dibentuk menjadi lemah dan buruk oleh orang lain atau persekitaran. Jangan biarkan diri kita diheret seperti lembu tanpa tahu hala tuju oleh orang lain atau persekitaran. Sebaliknya, kitalah yang perlu memimpin orang lain dan persekitaran kepada kebenaran dan kebaikan. Kitalah yang perlu mempengaruhi orang lain dan persekitaran menjadi baik. Kitalah yang perlu menjadi penyebab orang lain dan persekitaran berbuat baik. Kitalah yang perlu mengubah orang lain dan persekitaran daripada keburukan kepada kebaikan. Kitalah yang perlu menjadi guru dan model yang baik kepada orang lain dan persekitaran, bukannya orang lain dan persekitaran menjadi guru yang jahat dan model yang buruk kepada kita. Biarlah kebaikan seseorang menyebabkan kita pun ingin berbuat kebaikan, tetapi jangan keburukan seseorang terutamanya keburukannya kepada kita menyebabkan kita pun ingin turut serta berbuat keburukan terutama kepadanya.

Kebaikan seseorang kepada kita sepatutnya menjadi tarbiah kepada kita agar berbuat baik kepadanya, bukan setakat berbuat baik tetapi berbuat baik dengan lebih banyak dan lebih baik kepadanya (lebih kerap/banyak – kuantiti. ihsan/lebih baik – kualiti). Malah, kebaikan seseorang kepada kita sepatutnya menjadi pencabar dan pendorong kepada kita agar kita terlebih dahulu berbuat baik kepadanya (lebih cepat – masa/efisiensi). Kebaikan seseorang kepada kita sepatutnya menjadi tarbiah kepada kita agar kita terlebih dahulu berbuat baik kepadanya (proaktif). Kebaikan seseorang kepada kita sepatutnya menjadi tarbiah kepada kita agar kita terlebih dahulu berbuat baik kepadanya (proaktif). Kebaikan seseorang kepada kita sepatutnya menjadi tarbiah kepada kita agar membalas kebaikan kepadanya (reaktif). Malah, keburukan atau kejahatan seseorang kepada kita sepatutnya menjadi tarbiah kepada kita agar kita bersabar, setidak-tidaknya menahan diri kita daripada membalas dengan keburukan atau kejahatan juga. Biarlah keburukan kepada diri kita tidak kita balas dengan keburukan. Kita bukanlah pengutip dosa. Pencari rezki dengan menjadi pengutip tin di tepi jalan dan dalam tong sampah lebih mulia dari pengutip dosa. Jangan biarkan kita mengutip dosa dengan berbuat keburukan semata-mata kerana ingin membalas keburukan seseorang kepada kita atau semata-mata kerana terpengaruh oleh keburukan seseorang yang nampak cantik dan hebat.

Ada berlaku dalam kehidupan bermasyarakat kita umpamanya kita selalu mengambil berat perihal kaum kerabat kita atau jiran tetangga kita, selalu memberi kepadanya, selalu menziarahinya pada masa senang, keraian mahupun masa sakit dan kematian, dan berbuat banyak kebaikan kepadanya sedangkan dia tidak pernah mahu bertanya khabar berita kita atau mengambil berat perihal kita, tidak pernah atau sangat jarang memberi apa-apa hadiah kepada kita, sangat malas untuk menziarahi kita baik pada masa lapang, keraian mahupun masa sakit dan kematian, dan berbuat banyak perkara yang menyakitkan hati kita. Lalu apa reaksi yang hendak kita lakukan pada masa terkedepan? Terus menabur kebaikan kepadanya, menghentikan kebaikan kita kepadanya atau malah melakukan keburukan kepadanya? Siapakah yang dapat menjadi model kita dalam perkara ini iaitu kita diperlakukan dengan keburukan, lantas pembalasan keburukan atau kebaikankah yang perlu kita lakukan?

Kisah sejarah menceritakan Rasulullah saw pernah satu ketika selalu diperlakukan buruk oleh seorang wanita Yahudi. Wanita itu setiap hari melemparkan najis, duri dan halangan di jalan yang diketahuinya akan dilalui oleh Rasulullah. Suatu hari tidak ada najis, duri atau halangan seperti biasa di jalan  itu, lalu Nabi bertanya khabar berita wanita Yahudi yang diketahuinya melemparkan najis di jalan itu setiap hari. Lihatlah kepedulian Nabi. Setelah diketahui bahawa wanita itu jatuh sakit, lalu Baginda menziarahinya dengan membawa buah tangan. Terkesan dengan kebaikan Rasulullah yang tidak pernah berdendam atas keburukan yang dilakukan wanita itu, dia akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam. Demikianlah kuasa kebaikan.

Daripada kisah Rasulullah dan wanita Yahudi ini, kita simpulkan bahawa kita perlu terus istiqomah melakukan kebaikan dan memberikan kebaikan kepada sesiapa sahaja sekalipun orang itu istiqomah juga melakukan keburukan kepada kita. Akhirnya, orang yang jahat itu akan insaf, berubah menjadi baik. Kalaupun dia tetap degil selama-lamanya, selama kedegilannya dan selama istiqomah kita dalam melakukan kebaikan itu, kita tetap saja menjadi pengutip pahala. Ah, indahnya menjadi pengutip pahala seperti indah dan seronoknya menjadi pengutip-pengutip mutiara atau pengutip-pengutip kerang di perairan atau pantaian.

 

Tinggalkan komen »

Isteri Pandai Masak, Suami Pandai Makan

Kepada suami isteri yang baru kahwin. Ketahuilah bahawa kebahagiaan rumah tangga itu ada banyak pintunya. Sabar ialah salah satu pintu dan kuncinya.

Oleh itu Sang Suami, jika isteri anda belum pandai masak, sabarlah. Barulah gentleman dan cool. Berilah dia peluang, ruang dan masa untuk belajar. Setahun atau dua tahun. Antara keseronokan di sepanjang kesabaran itu ialah anda melihat isteri anda bersungguh-sungguh belajar memasak. Dia beli buku masakan, dia baca, dia cuba masak. Dia baca resepi-resepi masakan di internet. Di Facebook pun dia sembang dengan kawan-kawan tentang masak. Ada juga yang sanggup bayar yuran kursus masakan. Semuanya demi suami dan demi kebahagiaan sebuah rumah tangga. Pujilah masakannya jika ia menjadi. Kalau pun terlebih gula atau garam, janganlah marah. Berilah motivasi untuk cuba lagi. Yang untungnya anda juga nanti kalau isteri anda dah pandai masak. Anda boleh makan makanan sedap di rumah dengan kerap pada kos rendah tanpa perlu berbelanja besar di restoren mahal-mahal untuk makan makanan sedap. Kalau nak ajak kawan datang rumah pun tak segan, sebab makanan insyaAllah dijamin sedap. Kawan-kawan pun mesti sangat ringan mulut untuk memuji. Kalau kawan-kawan puji tu, janganlah lupa beritahu pada isteri. Pujian itulah yang akan menyebabkan isteri lebih bersemangat untuk selalu memasak sedap dengan lebih kerap tanpa merungut penat, tak sempat masa dan sebagainya.

Kepada Si Isteri pula, kalau belum pandai masak tapi dah ‘terlanjur’ kahwin tu, cepat-cepatlah kejar balik. Sematkan keazaman untuk pandai masak. Tingkatkan semangat. Minta suami anda dorong dan bantu anda belajar memasak. Setkan target. Contohnya nak pandai masak 1 jenis masakan kegemaran suami dalam masa seminggu dari sekarang. Atau nak pandai masak 2 jenis masakan kegemaran suami dalam masa sebulan dari sekarang. Setelah mencapai satu target, letakkan target baru atau tingkatkan target sedikit demi sedikit sehingga anda perlahan-lahan tanpa sedar sudah banyak pandai. Setkan 6 bulan atau 1 tahun untuk mencapai tahap pandai memasak yang memuaskan dengan jumlah kepelbagaian menu yang memuaskan. Tumpukan kepada makanan kegemaran suami terlebih dahulu. Anda perlu hidangkan kepada suami makanan yang dia suka, bukan makanan yang senang anda sediakan. Jika anda masih nak jalan pintas, tanyalah suami makanan apa yang dia suka tapi mudah disediakan. Jika ada, itu rezki anda. Jika tidak ada, ketahuilah bahawa anda mendapat lebih banyak pahala dengan susah payah sediakan makanan kegemaran suami walaupun rumit. Padahal kerumitan itu juga nanti yang akan menjadikan anda chef yang hebat.

Suami! Sabarlah menanti isteri anda belajar masak. Sesekali anda masaklah bersamanya, untuk memberikan semangat. Isteri, sabarlah belajar memasak. Kalau tak menjadi, cuba lagi. Kalau tak menjadi, anda tetap dapat pahala. Kalau menjadi, anda dapat pahala, kepuasan sendiri dan mungkin pujian suami! Bukankah itu kebahagiaan yang didambakan?

Tinggalkan komen »

Tip bahagia: Jadilah yang terbaik dan anggap yang terbaik

Kamarudin Ibnu Mikam dalam bukunya ‘Setiap Hari Adalah Honeymoon’ menasihatkan:

Jadilah suami atau isteri yang terbaik kepada isteri atau suami kita. Terbaik dari segi penampilan, layanan, perbualan, dan sebagainya. Kita hendaklah sanggup berkorban untuk melakukan yang terbaik untuk pasangan kita.

Tampillah dengan penampilan yang terbaik di hadapan pasangan kita agar dia sentiasa menganggap kita sebagai orang yang terbaik dalam hidupnya. Jika di hadapan orang lain kita malu untuk tampil selekeh, kenapa tidak malu selekeh di hadapan pasangan kita? Jika kita sanggup bersusah untuk tampil kemas, rapid an cantik di hadapan orang lain, kenapa tidak sanggup bersusah untuk tampil kemas, rapid an cantik di hadapan pasangan kita?

Layanlah pasangan kita dengan layanan terbaik. Jika dengan rakan sekerja atau kenalan atau jiran atau orang tidak dikenali kita boleh layan dengan baik, kenapa pasangan sendiri tidak dapat kita layan dengan layanan terbaik.

Anggaplah pasangan kita sebagai orang yang terbaik dalam hidup kita. Dengan anggapan sedemikian, ia mendekatkan kita kepada kebahagiaan. Memanglah pasangan kita tidak sempurna, tidak terlepas daripada kekurangan dan kelemahan, tetapi memang hakikatnya semua manusia begitu, pasti ada cacat celanya di samping segala kelebihan seperti tampan, kacak, bijak, kaya dan sebagainya. Orang lain yang lebih kacak atau lebih cantik daripada pasangan kita sekalipun pasti ada kelemahan dan kekurangannya di mana-mana, Cuma kita saja tidak mengetahuinya. Kita hanya mengetahui kelemahan itu apabila dia menjadi pasangan kita.

Oleh itu, sekalipun dengan serba kekurangannya, anggaplah pasangan kita itu sebagai orang yang terbaik dalam hidup kita.

Tinggalkan komen »

Keibubapaan dalam dunia yang mencabar

Catatan Nota Forum : Keibubapaan dalam dunia yang mencabar

Panel 1: Puan Mazni Mohd Zainal Abidin, Perunding Permainan Hospital

Panel 2: En Ahmad Fakhri Hamzah, Pelatih Profesional Bertauliah

Panel 3: Puan Jamilah bt Samian, Pelatih Profesional Bertauliah

Pengalaman peribadi Puan Mazni Mohd Zainal Abidin, Perunding Permainan Hospital – bayi dalam kandungannya dipesan menjelang hendak tidur malam supaya mengejutkannya bagun solat Subuh. Apabila menjelang subuh, bayinya menendang-nendang dinding perutnya sehinggalah dia bangun. Subhanallah!

Semasa usia 0-3 tahun, iaitu semasa komunikasi lisan belum sempurna, permainan menjadi medium komunikasi paling penting.

Apabila berusia lebih tiga tahun atau apabila kanak-kanak pandai bercakap, komunikasi lisan digalakkan. Peruntukkan masa untuk berborak-borak dengan anak sebagaimana kita ada masa untuk berborak dengan jiran, kawan dan sebagainya.

Hormati bayi sebagaimana kita menghormati orang dewasa lain. Tegur bayi apabila berjumpa dengannya. Apabila baru sampai ke rumah, pergi jumpa bayi dan tegurnya. Berbual-bual sedikit dengannya. Beritahunya jika anda perlu meninggalkannya untuk urusan lain atau jika anda sibuk seperti hendak memasak di dapur dan sebagainya. Buat satu janji temu (appointment) dengan bayi. Datang semula kepada bayi setelah anda selesai urusan anda atau setelah anda tidak sibuk lagi. Peruntukkan masa untuk bersamanya.

Fasa perkembangan bayi seperti tidur melentang, berbalik meniarap, bergerak atau berpusing setempat, mengengsot, merangkak, duduk, bangun bertatih, berjalan, berlari, melompat dan sebagainya mestilah dilalui semua fasa tersebut. Melalui semua fasa perkembangan adalah penting untuk memastikan kesempurnaan pergerakan badan apabila dewasa. Jika ada fasa perkembangan yang dilangkau, contohnya dari meniarap terus bangun bertatih tanpa merangkak terlebih dahulu, bayi atau kanak-kanak itu mesti diajar atau dilatih khusus kemudiannya untuk merangkak agar perkembangan pergerakan badannya semasa besar atau dewasa kelak tidak terganggu. Merangkak boleh dilatih dengan bantuan alat permainan terowong di taman permainan kanak-kanak.

Bermain dengan anak bukan urusan isteri sahaja, malah juga urusan malah tanggung jawab suami. Sudahkan anda/suami anda pandai bermain dengan bayi? Jangan terkejut jika ada orang tidak pandai. Bermain dengan bayi atau kanak-kanak bukanlah perkara yang perlu dimalukan. Ia bukanlah perkara yang memalukan.

Permainan anak patung adalah bagus kerana ia melatih komunikasi.

Bayi yang sakit perlu diberi motivasi melalui percakapan dengannya. Contohnya, bayi yang dirawat dalam incubator. Kita perlu beri kata-kata nasihat kepadanya. Dia mungkin tidak faham makna perkataan, tetapi dia dapat merasai ruh kata-kata itu. Demikianlah Allah jadikan.

Kisah pasangan ibu bapa Malaysia beranak kecil menetap di Jepun. Di rumah mereka di Jepun, mereka berbahasa Melayu. Bayi dihantar ke pusat jagaan bayi dijaga orang Jepun. Selepas bayi berusia 1-2 tahun, mereka balik ke Malaysia. Apabila bayi mula bercakap, perkataan pertama yang diucap ialah perkataan Jepun. Ibu bapa itu pelik kerana mereka sendiri tidak berbahasa Jepun dengan bayinya, malah berbahasa Melayu. Siasatan pakar kanak-kanak mendapati penyebab kepada kejadian itu ialah komunikasi dalam bahasa Jepun lebih banyak berlaku berbanding komunikasi dalam bahasa Melayu. Dengan kata lain, komunikasi antara bayi dengan pengasuh bayi berbangsa Jepun lebih banyak berbanding komunikasi antara bayi dengan ibu bapanya sendiri. Itulah contoh jelas akibat kekurangan komunikasi.

Keremajaan

Remaja ialah fasa perubahan. Perkara yang paling konsisten terhadap remaja ialah perubahan. Perubahan luaran dan dalaman. Masa remaja umpama masa rumah sedang diubahsuai. Kelam-kabut. Remaja cenderung emosional dan ‘rebellious’. Masa remaja juga adalah masa untuk berubah. Sama ada berubah menjadi lebih baik atau lebih teruk. Remaja berubah sepanjang masa. Aktiviti baik yang ibu bapa lakukan bersama anak semasa usia 3-4 tahun tidak semestinya masih menjadi aktiviti yang baik bagi anak berusia 13-14 tahun.

Ketiadaan ‘role model’ yang baik ialah punca masalah juvana. Dari bayi hingga tadika, kanak-kanak lelaki cenderung mendekati dan mencontohi ibu. Dari darjah 1 ke atas, kanak-kanak lelaki cenderung mendekati dan mencontohi bapa. Dari usia 14 tahun ke atas, remaja lelaki memerlukan lebih banyak ‘role model’ selain bapa.

Kenapa anak atau remaja berubah menjadi teruk walaupun dijaga dengan baik di rumah? Jawapan: pengaruh luaran.

Lain anak, lain watak atau gelagat. Kena hormati perbezaan watak atau gelagat anak.

Anak-anak zaman teknologi maklumat

Internet ialah oksigen bagi generasi Alpha. Anak-anak mesti dikawal dalam penggunaan internet. Pandu anak-anak melayari internet. Jawab soalan-soalan anak-anak. Jika anda tidak menjawab atau sengaja mengelak dari menjawab, anak-anak akan merujuk kepada orang lain. Jika orang yang dirujuk itu tidak baik, anda akan tanggung akibatnya.

Tetapkan awal-awal dalam fikiran anda bentuk anak yang macam mana yang anda inginkan. Setelah membuat penetapan, berusahalah ke arah itu.

Jika anak anda nakal dan anda ingin mengubah kenakalannya, anda pastinya akan mencari sebab kenakalan itu pada diri anak anda. Tetapi ingat, anda ada fokus lain yang lebih besar iaitu anda perlu fokus mencari apa yang perlu diubah pada diri anda sendiri terlebih dahulu sebelum anda fokus mengubah diri anak anda. Pengalaman peribadi En Fakhrin ingin mengubah gaya pemakaian anak-anak lelakinya. Awalnya, semua kata-kata nasihat dan tegurannya terhadap gaya pemakaian anaknya tidak dihirau oleh anaknya. Kemudian, En Fakhrin mula mengubah sikap dirinya. Dia mula mengemaskan pakaian dan barang-barang anaknya yang bersepah padahal ia sebelum itu tidak pernah melakukannya, sehinggalah anaknya berkata kepada anaknya yang lain “Abah dah berubah!”.  Tidak lama kemudian, anaknya pun berubah dan mula mendengar kata dan nasihatnya.

Apabila ibu bapa berubah, anak-anak akan ikut berubah.

Buku tulisan  Jamilah Samian :

http://coolmumsuperdad.com/?page_id=256

THE GROOVY GUIDE TO GEN Y & Z

123 Ideas to Connect with Youths who Breathe the Internet

COOL MUM SUPER DAD:

The Straight Talking Guide to Making it as a Parent

Without Losing a Warm Enduring Relationship with Your Child

COOL BOYS SUPER SONS:

What Parents Can Do To Motivate Teen Boys To Strive For Their Personal Best

At Home, At School And Beyond

(IBU KOOL BAPA HEBAT is the Malay version of COOL MUM SUPER DAD)

IBU KOOL BAPA HEBAT

Bagaimana menjadi ibu bapa yang lebih baik

Ahmad Fakhri Hamzah   http://coolmumsuperdad.com/?page_id=633

Jamilah Samian http://coolmumsuperdad.com/?page_id=573 

Tinggalkan komen »

Suami Isteri Bahagia: Urutan dan Tatapan

Kamarudin Ibnu Mikam menukilkan lagi tip kebahagiaan rumah tangga dalam bukunya ‘Setiap Hari Adalah Honeymoon’. Tip tersebut ialah mengurut dan menatap mata.

Mengurut dapat mengendurkan urat-urat dan otot-otot yang tegang serta memberikan kelegaan dan ketenangan terutama selepas seharian penat bekerja. Para suri rumah pun penat bekerja di rumah, mengemas dan menguruskan rumah. Apalagi para suami yang bekerja mencari sesuap rezki di luar rumah. Lakukanlah urutan kepada pasangan anda atau tawarkan urutan kepada pasangan anda tanpa perlu diminta terlebih dahulu. Tindakan sebegini akan meningkatkan kasih sayang kerana pasangan anda memahami bahawa anda sangat peduli terhadapnya. Lakukanlah dengan ikhlas. Lakukanlah pada waktu kelapangan atau saat berehat bersama seperti semasa menonton televisyen atau sebelum tidur. Dari sentuhan tangan semasa mengurut inilah mengalirnya kasih sayang.

Dalam dunia ini, ada benda bergerak yang tidak nampak dengan mata kasar kita, tetapi ia wujud. Contohnya arus elektrik. Ia wujud dan bergerak. Demikianlah kasih sayang. Ia wujud dan akan bergerak dari seorang ke seorang yang lain apabila berlaku sentuhan, contohnya melalui urutan dan ciuman. Apabila anda telah diurut, ambillah pula giliran mengurut. Bergilir-gilirlah. Jangan pandai diurut sahaja, tetapi belajar-belajarlah untuk pandai merajinkan diri mengurut pasangan (baca: mengalirkan kasih saying kepada pasangan).

Jangan harapkan mesin urut moden sahaja, kerana ia hanya melegakan urat yang tegang sahaja tapi tidak mengalirkan kasih sayang. Inilah rahsia orang-orang tua zaman dahulu. Walaupun kerja kampong sahaja, tidak ada mesin urut moden lagi, tetapi hidup tetap bahagia kerana kasih sayangnya mengalir dan dicurahkan, sebahagiannya melalui urutan. Serampang dua mata, ketegangan urat lega dan kasih sayang pun terasa melalui urutan tangan kepada pasangan. Ayuh praktikkan. Ia berkesan walaupun tanpa suara, apalagi kalau sambil mengurut sambil bersembang-sembang ringan atau bergurau senda, pasti lebih bahagia.

Dari mana datangnya lintah

Dari sawah turun ke kali

Dari mana datangnya cinta

Dari mata turun ke hati

Pantun tersebut sudah cukup untuk menyampaikan maksud bahawa cinta itu bergerak dan mengalir. Dari mata turun ke hati. Oleh yang demikian, tataplah pasangan anda. Tataplah sosok rupa pasangan anda. Tataplah raut wajah pasangan anda. Tataplah dalam-dalam mata pasangan anda seolah-olah menembusi retinanya. Penumpuan tatapan ini akan menghasilkan cas-cas cinta sebagaimana penumpuan cahaya matahari oleh sebuah kanta ke atas kertas akan menghasilkan nyalaan pada kertas itu. Kamus menterjemahkan tatap sebagai perbuatan melihat-lihat dengan penuh teliti. Cas-cas cinta yang terhasil ini akan mengalir turun ke hati. Hati adalah tempat merasai cinta. Cinta menyebabkan rasa bahagia. Ayuh menatap pasangan kita! Kerana dia memang milik kita dan untuk kita.

Tinggalkan komen »

UMNO dan PAS renung-renunglah ayat 46 surah Al Anfal

UMNO dan PAS, kedua-duanya orang Islam. Sebagai orang Islam, PAS dan UMNO kenalah luang-luangkan masa fikir-fikirkan maksud Ayat 46 Surah al Anfal yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersengketa, maka kamu akan gagal (lemah) dan hilang kehebatan kamu.”

Berbeza pertubuhan tidak mengapa. Itu biasa. Berbeza pendirian dalam hal-hal picisan pun tak mengapa. Itu biasa. Tapi jangan sampai berbeza pendirian dalam kepentingan bersama. Kepentingan bersama kita ialah bangsa dan agama. Agama yang paling utama. Bangsa pun penting juga kerana bangsa Melayu ialah bangsa unik di dunia, iaitu bangsa yang beragama Islam. Agama Islam menjadi syarat kepada bangsa Melayu. Berpolitiklah dengan professional untuk memajukan agama dan anak bangsa. Bukan berpolitik dengan emosional dan mengikut nafsu sehingga sanggup berkomplot dengan musuh agama dan bangsa untuk menjatuhkan saudara seagama dan sebangsa. Sedarkah kita, seburuk mana pun saudara kita itu, dia tetap sebangsa dan seagama dengan kita. Seagamanya dia dengan kita menunjukkan dia jauh lebih mulia daripada orang tidak sebangsa dan seagama dengan kita yang hendak menjadi musuh kita pula. Janganlah kesilauan dan kemaruk mendapat kuasa menyebabkan kita hilang kewarasan, hilang pertimbangan sehingga sanggup menjatuhkan saudara sebangsa dan seagama demi menjaga hati orang tidak sebangsa dan seagama dan demi mendapatkan kuasa. Tidakkah kita sedar, apabila sauadara seagama dan sebangsa kita telah dijatuh, yang naik ialah bukan saudara kita, bukan sebangsa dan seagama dengan kita. Apakah orang yang bukan saudara kita, bukan sebangsa dan seagama dengan kita akan menjaga kepentingan agama dan bangsa kita. Janji akan tinggal janji saja. Kita pada masa itu baru hendak sedar bahawa kita telah tertipu, kita telah diperkuda untuk mencapai cita-cita busuk mereka. Kita baru hendak menyesal kerana menjatuhkan saudara segama dan sebangsa, kemudian keuntungan apa pun kita tidak dapat, malah kerugian yang diperoleh, kepentingan agama dan bangsa telah terkorban, di saat itu nasi sudah menjadi bubur, sudah jatuh ditimpa tangga, menyesal dulu kedapatan, meyesal kemudian tidak berguna. Apa gunanya mendapatkan kuasa apabila kita berada di tampuk kekuasaan, tetapi maruah agama dan bangsa telah tercalar, banyak kepentingan agama dan bangsa telah terkorban. Atau mungkin pada ketika itu, pencuri yang masuk rumah kita itu bukan sekadar merompak harta benda kita, malah mengusir kita keluar. 

Tinggalkan komen »

UMNO dan PAS contohilah Aus dan Khazraj

UMNO dan PAS bukanlah dua golongan yang telah beratus-ratus tahun bermusuhan sesama sendiri seperti golongan Aus dan Khazraj. Jika pun UMNO dan PAS tidak boleh bersatu di bawah satu parti sepertimana Aus dan Khazraj bersatu di bawah satu kesatuan bernama Ansor, cukuplah UMNO dan PAS bersepakat atas beberapa perkara yang menyangkut kepentingan bersama (common interest) yang melibatkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu, contohnya isu Aqidah umat Melayu Islam, isu gejala sosial umat Melayu Islam, isu kepentingan agama Islam seperti isu Kalimah Allah, LGBT, pemurtadan dan sebagainya. Janganlah kerana kebencian kepada adik beradik sendiri, saudara sebangsa, sanggup bersekongkol dengan orang luar bukan sebangsa dan seagama untuk menjatuhkan saudara sendiri, kelak bukan sekadar kampong malah negara tergadai. Janganlah berputus arang berkerat rotan dengan saudara sebangsa dan seagama, tetapi menatang orang luar yang tidak sebangsa dan seagama seperti minyak yang penuh, tanpa menyedari bahawa kita diperkudakan, kita dijadikan kambing hitam dan tanpa menyedari bahawa mereka itu ialah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan yang menjadikan kita sebagai batu loncatan saja untuk mencapai cita-cita busuk mereka. Kelak nanti mereka akan usir kita keluar dari rumah kita sendiri. Kini pun mereka sudah berani buat bising dalam rumah kita. Mereka tidak sedar dulu mereka tetamu saja di rumah kita, menumpang tidur dan makan rezeki di sini. Kerana kebaikan kita, kita terima mereka sebagai ahli keluarga kita. Sekarang mereka mahu jadi kacang lupakan kulit. Kita beri betis, dia hendakkan paha. Orang macam ini kita jangan biarkan dia terus naik kepala seperti kaduk naik junjung. Orang seperti ini jangan kita beri muka. Toleransi ada batasnya. Keadilan ialah meletakkan benda kena pada tempatnya atau bertindak kena dengan keperluan, masa dan tempatnya. Kita kena bersikap adil dan tegas kepada orang seperti ini. Rumah kita kena kita jaga. Jangan biarkan dibakar orang sesuka mereka.  

Tinggalkan komen »

Bagaimana untuk bersedekah setiap hari

Saudara-saudariku, indah tak hidup anda jika setiap hari anda mendapat RM1 percuma daripada seseorang? Sebaliknya, indah tak hidup anda jika setiap hari anda dapat memberikan sedekah RM1 percuma kepada seseorang seperti kanak-kanak miskin, orang tua, orang kelainan upaya, orang fakir, dan orang yang kelihatan memerlukan. Jika RM1 sehari, sebulan kita sedekahkan lebihkurang RM30. Jika pendapatan anda RM 3000 sebulan, RM30 ialah 1% sahaja dari pendapatan anda. Jika pendapatan anda RM 6000 sebulan, RM30 ialah 0.5% sahaja dari pendapatan anda. Atau jika pendapatan anda ialah RM 6000 sebulan, anda boleh sedekah RM2 setiap hari, iaitu bersamaan RM60 sebulan, iaitu 1% dari pendapatan bulanan anda. Jika pendapatan anda RM 1500 sebulan, untuk menyedekahkan 1% dari pendapatan anda, anda boleh sedekahkan RM setiap 2 hari, iaitu bersamaan RM15 sebulan. Ok juga macam tu kan. Jika 99% pendapatan anda terguna untuk kepentingan anda sendiri dan keluarga, apa salahnya 1% untuk orang-orang di sekeliling anda.

Orang itu mungkin ialah orang yang membersihkan tempat anda bekerja, atau tempat anda lalu lalang. Orang itu mungkin orang yang berkhidmat mencuci kereta anda. Orang itu mungkin orang yang menghantar makanan sedap yang anda pesan dari rumah makan ke ke rumah anda. Orang itu mungkin memangkas lalang di laman anda. Bukankah Allah telah berjanji untuk menambahkan rezeki kepada orang yang tidak lokek membelanjakannya ke jalan-Nya?

Rezeki yang Allah tambah tidak semestinya dalam bentuk kertas bernilai. Apa guna punya banyak kertas bernilai tetapi jiwa tidak tenang, keluarga porak peranda, gaduh suami isteri hari-hari, rumah bersepah-sepah, beban kerja terasakan banyak, anak-anak mengamuk dan bermasalah, kereta selalu buat hal. Rezeki itu ialah semua macam kesenangan yang kita tidak sedari kewujudan dan nikmatnya sehinggalah ia hilang. Sihat wal afiat, dapat berjalan elok, tidak sakit lutut, kepala tidak pening, waras, tidak selsema, tidak sakit mata, boleh makan tanpa pantang, tidak ada kencing manis, tidak ada darah tinggi, cukup makan, boleh makan besar di luar sesekali, boleh pergi jalan-jalan bawa keluarga sesekali, pergi kerja balik kerja tak perlu terlibat kesesakan jalan raya, tidak pernah terlibat kemalangan jalan raya, jiran-jiran baik-baik, kawan-kawan amanah dan pemurah, majikan adil, anak-anak menyejukkan mata, kenderaan elok dan tidak selalu rosak, rumah luas dan damai, linkungan hidup yang kondusif dan banyak lagi semuanya ialah rezeki.

Tinggalkan komen »

Kesatuan/kesepakatan Umat dan Ketegasan Pemimpin

KESATUAN/KESEPAKATAN UMAT, KETEGASAN PEMIMPIN DAN PERISTIWA-PERISTIWA DI MALAYSIA

Banyak peristiwa yang mengancam kedudukan Islam dan umat Islam di Malaysia disebabkan ketidaksepaduan umat dan ketidaksepakatan dalam perkara yang padahal adalah perkara asas dan pokok dalam urusan beragama Islam sendiri. Lihat pengakuan Menteri berportfolio agama Islam seperti di bawah:

UTUSAN: Datuk Seri fikir apakah cabaran yang ditempuh oleh umat Islam di Malaysia ketika ini?

JAMIL KHIR: Kita melihat ada beberapa hal yang mencabar kekuatan dan kesatuan umat Islam. Yang lebih besar daripada itu adalah kesatuan fikrah atau pemikiran umat Islam. Lihat soal murtad yang berlaku sehingga timbul keresahan besar umat Islam di negara ini sehinggakan rata-rata yang ambil kesimpulan wajar umat Islam bersatu di bawah satu payung untuk pertahankan akidah umat Islam sehingga lahirnya perhimpunan yang dikenali Perhimpunan Sejuta Umat.

UTUSAN: Tentang soal ibadah korban haji baru-baru ini, mengapa pula ada pihak yang pertikaikan?

JAMIL KHIR: Soal korban ini harus semua fahami bahawa ia suatu tuntutan ibadah dalam Islam. Kita perlu menghormati antara satu sama lain. Dalam konteks agama misalnya sebelum ini tidak pernah ditimbulkan soal-soal seperti itu dan ‘tertimbul’ ini pun adalah kesan sebab kita umat Islam tidak bersatu.

Lihatlah, apabila umat tidak sepakat dan tidak bersatu padu, kita akan dimamah musuh dengan lahap di tanah air kita sendiri. Sementara itu sikap Menteri Dato Jamil Khir perlu dipuji kerana menyokong perpaduan umat Islam dan bertegas dalam isu agama seperti isu Seksualiti Merdeka seperti di bawah. Pemimpin yang tahu batas toleransi dalam agama sangat diperlukan oleh umat ini. Bukan pemimpin yang sanggup bersekongkol dengan musuh agama dan bangsa semata-mata silau dengan janji kekuasaan, pada masa sama membiarkan nasib pengikut, bangsa dan agama terjual dengan murah kepada musuh.

UTUSAN: Apa pandangan Datuk Seri tentang isu Seksualiti Merdeka?

JAMIL KHIR: Ia jauh menyimpang daripada norma kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, ‘merdeka’ yang saya boleh terjemahkan adalah kebebasan untuk amalan seksual seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT). Kita patut cepat berganding bahu untuk mengekangnya dan bukannya menyokong atas sifat kerana mereka ini macam ditinggalkan. Sebaliknya, kita bantu bawa mereka pulang ke pangkal jalan. Bukannya memperakukan amalan mereka pula.

Realitinya, dalam Perlembagaan negara, kita tak benarkan termasuk Sekyen 377 (a),(b), (c) dan (d) yang tidak benarkan berlaku perhubungan lelaki dengan lelaki dan sebagainya yang saya nampak di hujung terowong itu adalah untuk memadamkan Seksyen 377 ini. Nanti akhirnya pula hilang sekatan perundangan dan kelak timbullah pula kebebasan yang dilaungkan oleh golongan tersebut.

Tinggalkan komen »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.